NEW DELHI – Angka kematian akibat runtuhan sebuah terowong di tapak pembinaan projek hidroelektrik di negeri Sikkim, timur laut India, meningkat kepada sekurang-kurangnya 20 orang ketika operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Kejadian yang berlaku pada Isnin itu melibatkan 25 pekerja yang sedang menjalankan kerja pembinaan terowong bagi projek hidroelektrik milik kerajaan di Sungai Teesta, daerah Namchi.

Menurut Pengarah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri Sikkim, Rajiv Roka, sebanyak 13 mayat berjaya dikeluarkan setakat ini, manakala beberapa lagi mangsa dikenal pasti masih berada di dalam terowong yang runtuh.

Operasi menyelamat berdepan cabaran besar berikutan takungan air sedalam kira-kira 0.76 meter serta kebocoran gas metana yang memenuhi ruang bawah tanah, sekali gus membahayakan pasukan penyelamat.

Beliau berkata, keadaan di lokasi menyebabkan peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup adalah amat tipis.

Perbadanan Kebangsaan Tenaga Hidroelektrik (NHPC) memaklumkan kejadian dipercayai berpunca daripada pelepasan gas metana yang terperangkap dalam formasi batuan sehingga mencetuskan letupan serta menghasilkan asap tebal dan gas toksik.

Wilayah Sikkim turut dilanda hujan monsun lebat sejak beberapa hari lalu, sekali gus menyukarkan operasi mencari dan menyelamat di kawasan pembinaan berkenaan.

Pihak berkuasa memaklumkan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi yang mengorbankan nyawa pekerja terbabit. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *