MALAYSIA TEWAS 2-3, JUN HAO CIPTA KEJUTAN

AICHI – Skuad lelaki badminton negara terpaksa akur kepada Indonesia 2-3 pada aksi suku akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, Jepun, hari ini.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia gagal melangkah ke separuh akhir sekali gus terlepas peluang untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa selepas penantian 12 tahun untuk mara ke kelompok empat terbaik.

Malaysia terlebih dahulu memperoleh mata menerusi perseorangan lelaki utama, Leong Jun Hao yang mencipta kejutan besar apabila menewaskan pemain nombor satu dunia, Jonatan Christie, 20-22, 21-12, 21-17 dalam tempoh 1 jam 19 minit.

Pemain nombor 33 dunia itu bangkit selepas kehilangan set pertama sebelum mengawal permainan pada dua set berikutnya untuk memberikan kelebihan awal 1-0 buat Malaysia.

Bagaimanapun, beregu nombor enam dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani gagal menggandakan kelebihan apabila tewas kepada gandingan nombor dua dunia, Fajar Alfian-Muhammad Shohibul Fikri, 15-21, 21-19, 10-21 dalam aksi selama 50 minit.

Indonesia kemudian mendahului 2-1 selepas perseorangan kedua negara, Justin Hoh, kecundang 19-21, 19-21 kepada pemain nombor 10 dunia, Alwi Farhan.

Malaysia kembali menyamakan kedudukan menerusi gandingan Aaron Chia-Tee Kai Wun yang menampilkan aksi bertenaga untuk menewaskan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 17-21, 21-16, 21-13.

Namun, peluang Malaysia untuk melakar kejutan akhirnya berakhir apabila pemain muda negara, Eogene Ewe, tewas kepada pemain nombor 28 dunia, Mohammad Zaki Ubaidillah, 11-21, 11-21 dalam tempoh 35 minit.

Meskipun gagal ke separuh akhir, kemenangan Jun Hao ke atas Jonatan menjadi antara detik paling mencuri perhatian buat skuad negara, selain menunjukkan kemampuan pemain Malaysia memberikan tentangan kepada barisan elit Indonesia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *