KUALA LUMPUR – Malaysia mengorak langkah lebih besar dalam pembangunan seni bela diri campuran (MMA) apabila menyasarkan sukan itu disenaraikan sebagai acara rasmi pada Sukan SEA selepas berjaya menganjurkan Kejohanan MMA Asia GAMMA 2026 buat julung kali.

Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Malaysia (MASMMAA), Dr. Alvin Cardall Chong berkata, kejayaan menganjurkan kejohanan tersebut membuktikan Malaysia mempunyai kemampuan dari aspek pengurusan, penganjuran serta pembangunan atlet, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam arena MMA di peringkat Asia.

Menurut beliau, kejohanan yang berlangsung di Putrajaya itu menghimpunkan atlet dari 15 negara, manakala keseluruhan delegasi termasuk pegawai, pengadil dan wakil persatuan melibatkan 21 negara selepas dua tahun kejohanan berkenaan tidak dianjurkan.

“Penganjuran kali ini memberi peluang besar kepada atlet negara menimba pengalaman berdepan pencabar berkualiti, selain menjadi medan terbaik untuk meningkatkan tahap persediaan menghadapi temasya lebih besar pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan positif MMA di peringkat antarabangsa turut memberi keyakinan bahawa sukan itu semakin hampir mendapat pengiktirafan lebih luas selepas pernah dipertandingkan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan SEA di Thailand dan bakal menawarkan pingat pada Sukan Asia di Jepun.

Pada kejohanan tersebut, Malaysia mempertaruhkan hampir 20 atlet dalam 37 kategori yang dipertandingkan dan berjaya mencatat keputusan memberangsangkan apabila meraih tiga pingat emas, satu perak serta lapan gangsa termasuk dua emas dalam kategori belia.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Global (GAMMA), Jovinus C. Lagawa berkata, penubuhan Liga MMA ASEAN yang dijangka bermula tahun depan bakal menjadi pemangkin utama dalam usaha menjadikan MMA sebagai acara rasmi Sukan SEA.

Menurut beliau, cadangan liga itu sudah menerima sokongan awal daripada Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Filipina, dengan Indonesia dijangka menjadi tuan rumah pusingan pertama sebelum saingan diteruskan secara bergilir di negara-negara lain.

Beliau optimis liga serantau tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan tahap persaingan dalam kalangan atlet Asia Tenggara, malah menjadi platform penting untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dan mempercepatkan pengiktirafan MMA di pentas sukan pelbagai acara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *