“ROMBAKAN KABINET MENYUSUL? SATU-SATULAH”

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan masih belum menerima surat peletakan jawatan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Bagaimanapun, katanya, Anthony sudah memaklumkan kepadanya mengenai hasrat untuk mengemukakan surat berkenaan dan mengadakan perbincangan dengannya.

PMX berkata, beliau mahu mendengar sendiri penjelasan dan pandangan Anthony terlebih dahulusebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

“Saya belum sempat bincang apa-apa lagi. Saya kena dengar pandangan dia.

“Saya faham sebab dia ini orang yang ada prinsip dan dia memang daripada awal konsisten bantah peraturan yang boleh beri gambaran seolah-olah kita ini lemah atau longgar terhadap amalan rasuah.

“Jadi lebih baiklah saya jumpa dia, dengar pandangan dia dan itu baru saya boleh bagi keputusan,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada Ahad.

Menurut Ahli Parlimen Tambun itu lagi, pertemuan dengan Anthony mungkin hanya berlangsung selepas lawatan Menteri Pengangkutan itu ke Shanghai.

Ditanya sama ada perkembangan itu akan membawa kepada rombakan Kabinet, Perdana Menteri sekadar menjawab ringkas: “Satu-satulah.”

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menawarkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.

Anthony berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, jelasnya, keputusan itu hanya melibatkan dirinya sebagai anggota Jemaah Menteri.

Manakala Menteri dan Timbalan Menteri DAP lain kekal dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Malah tegasnya, keputusan berkenaan dicapai selepas Jawatan kuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP bermesyuarat dan membahaskan perkara itu selama hampir tiga jam pada petang Sabtu.

“Pendirian DAP diterjemahkan melalui peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan.

“Saya akan mengemukakan surat kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat,” katanya dipetik Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di Jalan Yew pada Sabtu.

Menurut Anthony lagi, barisan Menteri dan Timbalan Menteri DAP turut menyatakan kesediaan untuk melepaskan jawatan pada bila-bila masa.

Namun ujarnya, CEC memutuskan mereka perlu kekal dalam kerajaan buat masa ini bagi menjamin kestabilan politik negara dan mengelakkan pentadbiran Dato’ Seri Anwar Ibrahim kehilangan sokongan majoriti.

Katanya lagi, DAP menyedari terdapat pihak tertentu yang menunggu parti itu keluar daripada kerajaan sehingga boleh mencetuskan ketidakstabilan politik atau membawa kepada perubahan kerajaan.

“Kita amat sedar permainan politik pihak tertentu dan harapan mereka supaya DAP membuat keputusan yang membolehkan cita-cita politik mereka tercapai.

“Kita tidak akan memberi ruang kepada perkara itu,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai keputusan tahanan rumah Najib, Anthony menegaskan, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan keputusan itu tidak boleh dipertikaikan.

Namun, DAP berpandangan keputusan berkenaan sukar diterima kerana negara tidak mempunyai peruntukan undang-undang atau duluan membabitkan individu yang disabitkan atas kesalahan rasuah menjalani hukuman secara tahanan di rumah.

Beliau turut menegaskan, skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kleptokrasi telah membelenggu negara sejak sedekad lalu serta menyebabkan kerugian berpuluh-puluh bilion ringgit.

Malah menurutnya lagi, DAP akan terus berpegang kepada perjuangan menegakkan kebenaran dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dikenakan hukuman setimpal.

Nahh! Nampaknya parti ‘Cina’ DAP ini jauh lebih bermaruah dan berprinsip berbanding dengan parti Melayu Islam yang hanya berdegar-degar ‘mengugut’ kepimpinan sebelum ini.

Sejujurnya, lebih baik melepaskan jawatan demi prinsip dan moral daripada tanpa segan-silu membuka tabung derma untuk melepaskan penjenayah.

Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=AxkmyERQxiY&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *