PELABURAN KWAP: KERAJAAN TAK CAMPUR TANGAN

Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan serta keputusan berkaitan pelaburan termasuk yang dibuat Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), sebaliknya ia ditentukan panel pelaburan profesional dilantik.

Perdana Menteri berkata, setiap keputusan pelaburan dibuat oleh agensi terbabit diteliti melalui projek ‘due diligence’ atau usaha wajar, selain kajian terperinci oleh panel pelaburan yang mewakili kepentingan kerajaan dan swasta.

“(Panel ini) terdiri daripada golongan profesional terpilih. Selalunya keputusan itu dibuat dan dibentangkan kepada lembaga dan tidak memerlukan kelulusan Kementerian Kewangan (MOF). 

“Keseluruhannya itu (panel dilantik dan lembaga) dari latar belakang profesional. Kalau dalam lembaga, tentunya ada wakil daripada kementerian, itu biasa. Tapi kalau pandang pelaburan, itu ‘strictly’ profesional.

“Sebab itu, sejak saya di MOF, laluan penuh, tidak ada campur tangan kerajaan, ataupun tidak ada keperluan untuk membawa cadangan pelaburan untuk pertimbangan kerajaan atau Menteri Kewangan,” katanya dipetik Media Perpaduan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Mohd Hasbie Muda yang bertanyakan berkenaan isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery, Indonesia pada sesi jawab lisan di Dewan Negara pada Isnin.

PMX turut berkata, setakat ini, kesemua mereka dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan menambah nilai dana pasaran persaraan melalui strategi pelaburan. 

“Mereka tentunya mengambil tindakan untuk mengurangkan risiko dan menjamin pulangan yang adil,” ujarnya lagi.

Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, oleh kerana pelaburan KWAP menyentuh kepentingan awam, tentunya kerajaan tidak boleh berselindung.

“Pelaburan (KWAP dalam eFishery) sekitar RM160 juta saya pilih untuk umumkan, kerana wang ini dana persaraan.

“RM160 juta itu dilabur dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, e-Fishery. Tetapi ternyata sekarang, ada penipuan terancang. 

“Soalannya, mengapa tidak diteliti? Jawabnya tentunya dari panel pelaburan, (sudah) diteliti.

“Kerana dana dilabur itu walaupun (jumlahnya) besar, tapi kecil ketimbang dilakukan syarikat antarabangsa terkenal lain yang (jumlahnya) lebih besar. Penipuan ini, penipuan sangat canggih,” jelasnya.

PMX juga berkata, bukan saja dana pelaburan dari Eropah seperti Aqua Spark terjejas, malah ramai lagi termasuk 42X Fund dari Abu Dhabi, Temasek dari Singapura serta pengurus dana terkenal dunia, SoftBank. 

“Itu semua pelaburan yang jauh lebih tinggi dari KWAP. Mereka semua terpedaya dan orang dipertanggungjawabkan itu sudah pun dipenjara.

“Tapi saya ingin sebut, apa kesannya kepada panel pelaburan dan juga KWAP. Kita harus menilai, melihat keseluruhannya,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut berkata, biarpun merekod kerugian RM160 juta dalam pelaburan di eFishery, keuntungan bersih diraih KWAP masih memberangsangkan iaitu berjumlah RM12.9 bilion.

“Iaitu pertumbuhan dana sebanyak 9.3 peratus. Jadi, kalau pun kita mohon supaya mereka (yang mengkritik) lebih waspada, kita harus lihat keseluruhannya (pencapaian pelaburan KWAP) dan kaedah tindakannya.

“Apakah KWAP ini hanya melabur di syarikat asing? Tidak benar. Kerana itu ‘startup’ Indonesia. Tapi ‘startup’ di Malaysia yang dilabur juga tinggi.

“Selain projek yang kita jana melalui usaha MOF, iaitu GEAR-uP, juga melibatkan KWAP, membabitkan RM30 bilion dana termasuk kepada syarikat Bumiputera. 

“Jadi, saya mohon semua melihat keseluruhannya kerana keuntungan dan pertumbuhan yang disebut pertumbuhan tahunan melebihi 8.5 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan perlunya siasatan lanjut dilakukan khususnya bagi meneliti prosedur kelulusan berkait isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery, Indonesia.

Justeru, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sudah memulakan siasatan terhadap kes penipuan terancang itu.

“Tentunya siasatan harus dilakukan. Sebab itu saya menyokong langkah SPRM untuk meneliti sekiranya ada keterlanjuran atau percanggahan dari segi hukum atau pun unsur rasuah. 

“SPRM harus juga melihat proses pelaburan serta keputusan dibuat oleh panel pelaburan dan akhirnya yang dipersetujui oleh lembaga (KWAP),” tambahnya lagi bagi menjawab soalan Senator Dr Hajah Wan Martina Wan Yusoff.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Abd Halim Aman memaklumkan, agensinya menubuhkan sebuah pasukan siasatan bagi meneliti isu kerugian RM200 juta membabitkan pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.

Mengulas lanjut, beliau berkata berkata, jika melihat kepada proses kelulusan dana pelaburan ke atas syarikat berkenaan sebelum ini, ia seolah-olah menyaksikan satu kejadian luar biasa. 

“Dua audit bertauliah luluskan, yang ketiga pun luluskan, tak sempat disahkan. Ini tiga syarikat audit terbesar dunia meluluskan.

“Jadi saya kaji ini, wah.. ini memang ‘kepakaraan’ luar biasa dari Jakarta ini, tetapi dalam penipuan, malangnya.

“Tapi ini pengajaran juga, bahawa walaupun disahkan oleh syarikat audit terkenal dunia, ia tidak menjamin.

“Kalau kita ambil pengalaman 1MDB (1Malaysia Development Berhad), itu ada penglibatan Goldman Sachs, syarikat kewangan dan audit terkenal dunia, tapi terlibat ‘complicit’ dalam usaha penipuan ini.

“Ini pengajaran, peringatan kepada kita. Tak bergantung pada syarikat audit, sukar untuk dapat kelulusan. Kalau bergantung sepenuhnya, kita lihat ada juga risiko,” katanya.

PMX juga berkata, dengan kes penipuan sedemikian, panel pelaburan bagi mana-mana agensi pelaburan termasuk KWAP semakin tercabar, untuk tidak hanya bergantung kepada kepakaran audit saja, sebaliknya melihat juga dari segi nilai peraturan yang ada.

Sehubungan dengan itu, beliau turut memberi peringatan bahawa dalam MADANI, kepintaran, kepakaran, ‘new technology’, menggapai di langit diperlukan , tetapi ia juga mesti berakar ke bumi dengan nilai dan akhlak.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=tloEs-9aw_k&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *