PETALING JAYA – Undang-undang syariah tidak menetapkan mekanisme potongan gaji bagi pembayaran nafkah hanya kepada individu yang bekerja dalam sektor kerajaan.
Bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Pulau Pinang, Datuk Muhamad Abdul Karim Wahab berkata, penguatkuasaan perintah nafkah juga boleh dilaksanakan terhadap suami atau bapa yang bekerja di sektor swasta atau bekerja sendiri, tertakluk kepada perintah Mahkamah Syariah.
Menurut beliau, mahkamah tidak seharusnya berdepan keadaan seolah-olah perlu menyerah kalah sekiranya majikan enggan bekerjasama dalam melaksanakan perintah potongan gaji.
“Dalam undang-undang tidak kata hanya untuk yang bekerja kerajaan sahaja. Kalau begitu, kelihatan seperti ada double standard.
“Dalam kaedah penguatkuasaan perintah ini, boleh sahaja, tertakluk kepada perintah mahkamah, diperintahkan kepada bank yang mana gaji sepatutnya dibayar melalui kaedah seperti arahan tetap kepada bank (standing instruction),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, perkara paling penting ialah kaedah pembayaran atau potongan perlu dinyatakan dengan jelas dalam perintah mahkamah supaya penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, ketegasan hakim dalam menetapkan bentuk pelaksanaan perintah amat penting, terutama apabila melibatkan pihak ketiga seperti majikan atau institusi kewangan.
Sementara itu, peguam syarie, Nur Atiqah Abd. Rahman berkata, potongan gaji secara automatik bagi bekas suami yang culas membayar nafkah bukan mekanisme baharu.
Sebaliknya, katanya, kaedah penguatkuasaan perintah nafkah sememangnya diperuntukkan dalam undang-undang syariah dan telah dilaksanakan dalam kes tertentu.
Beliau berkata, di Selangor misalnya, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 memberi kuasa kepada mahkamah melaksanakan penghakiman melalui kaedah tahanan pendapatan penghutang penghakiman.
“Berdasarkan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), penguatkuasaan perintah nafkah boleh melibatkan potongan gaji bagi individu yang mempunyai pekerjaan tetap, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor swasta.
“Dalam kes yang saya kendalikan pada 2019, suami bekerja dengan syarikat swasta dan apabila dia culas membayar nafkah, mahkamah mengeluarkan perintah supaya gajinya dipotong,” katanya.
Nur Atiqah berkata, mekanisme sama turut boleh membabitkan pihak ketiga dalam keadaan tertentu, termasuk kes individu yang diisytiharkan muflis.
Menurutnya, terdapat kes apabila Mahkamah Syariah mengarahkan bayaran nafkah anak dibuat melalui Jabatan Insolvensi selepas suami diisytiharkan bankrap.
Situasi itu menunjukkan penguatkuasaan perintah nafkah boleh melibatkan pihak ketiga bagi memastikan kewajipan yang diputuskan mahkamah dapat dilaksanakan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan bentuk perintah yang dikeluarkan.
