ROHINGYA: AMK KEDAH MAHU KERAJAAN TEGAS

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kedah menggesa kerajaan memperkemas pengurusan pelarian Rohingya dengan menyeimbangkan pendekatan kemanusiaan, keselamatan serta kepentingan rakyat tempatan.

Ketua AMK Kedah, Mohammad Fitri Ismail berkata, laporan mengenai keadaan pelarian Rohingya di Malaysia perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira realiti serta kebimbangan masyarakat di lapangan.

Menurutnya, Malaysia sememangnya mempunyai nilai kemanusiaan dan tidak wajar menghina atau menganiaya komuniti Rohingya yang melarikan diri daripada konflik serta penganiayaan di Myanmar.

Namun, beliau berkata, kebimbangan penduduk termasuk berkaitan kemasukan tidak terkawal, pekerjaan tidak formal, pemerdagangan manusia, gejala sosial serta tekanan terhadap kemudahan awam tidak boleh dipandang ringan.

Rakyat risau tentang kemasukan yang tidak terkawal, gejala sosial, pemerdagangan manusia, pekerjaan tidak formal, tekanan terhadap kemudahan awam dan kesan kepada kehidupan komuniti setempat.

“Benda ini jangan kita sapu bawah karpet,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Gesaan itu hadir ketika isu keberadaan pelarian Rohingya di kawasan awam kembali menjadi perhatian selepas tular video enam sekeluarga etnik berkenaan didakwa hidup bergelandangan di sebuah taman permainan di Larkin, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, rondaan telah dijalankan pada 24 Ogos selepas video berkenaan tular.

Namun keluarga tersebut sudah tiada di lokasi berkenaan.

Malah katanya lagi, pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Manakala lokasi keberadaan mereka ketika ini masih belum dikenal pasti.

Fitri turut berkata, kerajaan perlu memastikan sistem pendaftaran, pemantauan dan pengurusan pelarian dilaksanakan secara lebih tersusun.

Selain memperhebat tindakan terhadap sindiket penyeludupan manusia.

Beliau juga menegaskan pendekatan kemanusiaan tidak seharusnya bercanggah dengan usaha menjaga keselamatan dan kepentingan rakyat.

“Kita boleh membantu orang yang susah tanpa mengabaikan rakyat sendiri.

“Kita boleh tegas tanpa menjadi zalim,” tegasnya lagi. 

Dalam pada itu, kerajaan dilihat cakna terhadap isu pengurusan pelarian Rohingya.

Terutamanya dengan memberi perhatian kepada aspek kebajikan, keselamatan dan kepentingan masyarakat tempatan.

Pemantauan pihak berkuasa terhadap lokasi yang dilaporkan menjadi tempat tinggal sementara komuniti berkenaan juga menunjukkan isu tersebut tidak dipandang ringan.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut mendapatkan maklum balas Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan mengikut bidang kuasa.

Justeru, pendekatan bersepadu antara agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan polis adalah sangat penting.

Ia bagi menangani isu penempatan, kebajikan serta penggunaan kemudahan awam secara teratur.

Sehubungan dengan itu, kerajaan juga perlu terus memastikan sebarang tindakan terhadap pelarian dilaksanakan secara berperikemanusiaan.

Namun tetap tegas dalam soal pematuhan undang-undang dan keselamatan awam.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=BTKa7Jn2m-M&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *