Tindakan sebahagian Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji disifatkan sebagai tidak wajar, malah bercanggah dengan semangat titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Ali, perbahasan mengenai laporan berkenaan sepatutnya menjadi ruang kepada semua Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang, untuk meneliti dapatan RCI secara terbuka serta mendapatkan penjelasan daripada kerajaan.
Beliau berkata, tindakan meninggalkan Dewan ketika isu membabitkan institusi yang menguruskan wang jutaan pendeposit umat Islam sedang dibahaskan hanya akan menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan pihak terbabit untuk mencari kebenaran.
“Tindakan tersebut amat dikesali. Perbahasan tersebut memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen untuk meneliti dapatan RCI, mendapatkan penjelasan kerajaan dan mengemukakan pandangan serta cadangan demi kepentingan para pendeposit Tabung Haji,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, isu Tabung Haji tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui kaca mata persaingan politik kerana ia menyentuh soal amanah, tadbir urus dan kepentingan pendeposit.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan supaya siasatan terhadap perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI dilaksanakan secara menyeluruh dan tanpa kompromi.
“Jika benar mahu mencari kebenaran, maka tempatnya adalah di meja perbahasan, bukan dengan meninggalkan Dewan,” ujarnya lagi dipetik Harapan Daily.
Sheikh Omar turut berkata, laporan RCI berkenaan bukan hak milik mana-mana parti politik dan dapatan yang terkandung di dalamnya perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak.
Katanya, Tabung Haji merupakan institusi penting yang menguruskan simpanan serta amanah jutaan umat Islam, justeru sebarang kelemahan dalam aspek tadbir urus perlu diperbetulkan bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
“Laporan RCI ini bukan milik mana-mana parti politik. Ia menyentuh kepentingan sebuah institusi yang menguruskan wang dan amanah jutaan umat Islam di negara ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen supaya menggunakan ruang perbahasan di Dewan Rakyat untuk membangkitkan persoalan, mengemukakan pandangan serta mencadangkan penambahbaikan berdasarkan dapatan RCI.
Malah tambahnya lagi, pendekatan itu lebih berkesan berbanding tindakan meninggalkan Dewan sebagai tanda bantahan politik.
Beliau berkata, pendeposit Tabung Haji mempunyai hak untuk mengetahui kedudukan sebenar institusi berkenaan dan bagaimana kelemahan yang dikenal pasti dalam laporan RCI akan ditangani.
“Semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk memastikan dapatan laporan diteliti dengan serius dan memastikan kelemahan tadbir urus tidak berulang lagi,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Sheikh Omar menyeru semua Ahli Parlimen, termasuk daripada blok kerajaan dan pembangkang, supaya mengetepikan kepentingan politik kepartian ketika membahaskan isu berkenaan.
Katanya lagi, tumpuan utama perlu diberikan kepada kepentingan pendeposit Tabung Haji serta masa depan institusi berkenaan.
“Ini bukan soal politik siapa menang atau siapa kalah. Ini soal amanah. Ini soal tadbir urus. Ini soal wang rakyat dan pendeposit Tabung Haji.
“Dan ini soal menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Dalam pada itu, tindakan PAS keluar Dewan itu juga disifatkan sebagai satu kerugian besar kepada pembangkang sendiri apabila melepaskan platform rasmi untuk mencabar setiap dapatan laporan berkenaan.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, Dewan Rakyat merupakan medan tertinggi untuk Ahli Parlimen menyoal, mengkritik dan mendesak penjelasan secara terbuka terhadap perkara yang mereka pertikaikan.
Lebih penting, menurut beliau, Ahli Parlimen mempunyai keistimewaan dan perlindungan tertentu ketika berbahas di Dewan, sekali gus memberikan ruang luas kepada pembangkang untuk mengemukakan persoalan keras berhubung RCI Tabung Haji.
“Dewan Rakyat adalah platform tertinggi negara yang dilindungi oleh imuniti Parlimen. Hal ini membolehkan Ahli Parlimen mengemukakan soalan tegar, meminta jawapan terperinci dan mengkritik dapatan RCI dengan imuniti.
“Namun, ketika peluang itu berada di depan mata, mereka memilih untuk keluar dewan,” tegasnya kepada Malaysia Gazette.
Saifuddin berkata, tindakan tersebut juga memperlihatkan percanggahan ketara antara pendirian yang ditunjukkan pemimpin PN di luar Parlimen dengan tindakan mereka apabila isu berkenaan benar-benar dibawa ke Dewan untuk dibahaskan.
“Bukan main sebelum ini pimpinan PN bersuara lantang di media sosial, sidang media malah pentas ceramah berhubung isu tata kelola serta akauntabiliti Tabung Haji.
“Rupanya berani di luar tetapi kecut perut di dalam dewan,” ujarnya lagi dipetik Harapan Madani.
Beliau berkata, tindakan meninggalkan persidangan ketika laporan RCI sedang dibahaskan juga boleh menimbulkan persepsi bahawa pembangkang tidak bersedia berdepan dengan fakta serta isu kritikal yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Malah alasan bahawa perbahasan itu tidak mempunyai keperluan mendesak atau hanya mengundang lebih banyak persoalan mengenai pendirian PN terhadap isu Tabung Haji.
“Di mata pemerhati politik dan pengundi atas pagar, tindakan keluar Dewan boleh ditafsir sebagai ketidakupayaan untuk menjawab isu-isu kritikal yang dibangkitkan dalam laporan RCI Tabung Haji.
“Apatah lagi apabila pembangkang mengatakan ia tiada ‘urgency’ jelas menunjukkan isu kebimbangan orang Melayu dan Islam hanya menjadi mainan politik sahaja,” tempelaknya lagi.
Saifuddin turut mempersoalkan bagaimana pemimpin pembangkang boleh berdegar-degar bercakap mengenai kepentingan rakyat, amanah pendeposit dan keperluan mendapatkan jawapan mengenai Tabung Haji di luar Parlimen, tetapi mengambil pendirian berbeza apabila ruang rasmi disediakan.
Menurutnya lagi, jika perjuangan itu benar-benar dibuat demi rakyat, peluang untuk membahaskan laporan RCI sepatutnya digunakan sepenuhnya tanpa mengira sama ada Perdana Menteri hadir atau sebaliknya.
Tambahnya, tugas ahli Parlimen bukan sekadar menyuarakan kritikan melalui media sosial, sidang media atau pentas politik sebaliknya membawa persoalan rakyat ke dalam Dewan dan menuntut jawapan melalui proses Parlimen.
Kalau tidak bersetuju, bahas. Kalau ada fakta lain, kemukakan. Kalau mahu kerajaan menjawab, tanyakan di dalam Dewan.
“Bukannya apabila ruang sudah diberikan, memilih untuk keluar dan kemudian terus bercakap mengenainya di luar,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan, sekiranya PN mempunyai pertikaian terhadap dapatan RCI, tidak berpuas hati dengan penjelasan kerajaan atau mempunyai fakta yang mahu diketengahkan, Sidang Khas itu merupakan medan paling tepat untuk berbuat demikian.
Namun, tindakan keluar Dewan itu akhirnya hanya membuka ruang kepada rakyat untuk menilai sendiri sama ada isu Tabung Haji benar-benar menjadi keutamaan pembangkang atau sekadar digunakan apabila mempunyai keuntungan politik.
Dalam isu yang melibatkan kepentingan jutaan pendeposit, rakyat berhak mengharapkan wakil mereka berada di dalam Dewan untuk menjalankan tanggungjawab, bukannya meninggalkan perbahasan ketika peluang mendapatkan penjelasan tersedia.
Ingat! Rakyat sentiasa memerhati!
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=JG5uiNJK_4c&ra=m
