KUALA TERENGGANU – Masalah lambakan sampah dan pencemaran di Pulau Redang semakin membimbangkan apabila penduduk serta pengusaha pelancongan menggesa tindakan segera diambil bagi mengelakkan destinasi ikonik negara itu kehilangan daya tarikannya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Tinjauan di sekitar Kampung Baru mendapati timbunan sampah di kawasan jeti, lorong berhampiran Lapangan Terbang Redang serta beberapa lokasi lain bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah mengundang bau busuk, kehadiran lalat dan haiwan liar akibat pengurusan sisa yang didakwa tidak sistematik.
Lebih membimbangkan, beberapa premis makanan didapati masih menyalurkan air sisa terus ke laut tanpa sistem rawatan sempurna, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran perairan serta menjejaskan kesihatan penduduk dan pelancong.
Seorang pengusaha bot, Khairul Azhar Mohd. Darus berkata, masalah itu telah lama berlarutan walaupun pelbagai aduan dikemukakan kepada pihak berkuasa.
“Pelancong sering bertanya mengenai isu sampah di pulau ini dan saya sendiri berasa malu kerana tiada perubahan yang benar-benar menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Sulaiman pula berkata, isu lambakan sampah telah berlarutan sejak enam tahun lalu dan berharap pihak berkuasa membina pusat penyimpanan sampah tertutup bagi mengelakkan longgokan sisa dapat dilihat sebaik pelancong tiba di jeti.
Sementara itu, aktiviti pembersihan yang dijalankan bersama Persatuan Penyelam Konservasi Best Malaysia (BEST) turut menemukan pelbagai sisa seperti plastik, lampin pakai buang, botol kaca, tali pancing dan jaring hantu yang mencemarkan dasar laut Pulau Redang.
Pengasas BEST, Mohd. Ariff Ismail berkata, sebahagian sampah yang ditemui dipercayai dibawa arus dari negara jiran berdasarkan label produk yang ditemukan, sekali gus menunjukkan isu pencemaran rentas sempadan memerlukan kerjasama serantau.
Dalam tempoh hampir sejam aktiviti menyelam, sebanyak 56.05 kilogram sisa marin berjaya dikutip, manakala 400.13 kilogram sampah dikumpulkan di pesisir pantai sepanjang program pembersihan selama tiga hari.
Dalam perkembangan sama, Pakar Biologi Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Tan Chun Hong memaklumkan litupan terumbu karang hidup di Malaysia menurun daripada 44.65 peratus pada 2024 kepada 39.94 peratus pada 2025, dengan tekanan pelancongan, pencemaran dan sistem kumbahan yang tidak sistematik dikenal pasti antara faktor utama kemerosotan ekosistem marin.
Beliau menegaskan tindakan pemuliharaan dan pengurusan pelancongan yang lebih mampan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan Pulau Redang terus kekal sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia, bukannya dikenang sebagai lokasi yang dicemari lambakan sampah.
