KUALA LUMPUR – Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix tahun ini menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penganjuran perlumbaan gantian itu bukan sekadar melibatkan aspek sukan, malah mencerminkan hubungan erat, kepercayaan dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Bahrain.
Menurut beliau, penghargaan turut dizahirkan kepada Putera Mahkota Bahrain merangkap Perdana Menteri Bahrain, Sheikh Salman bin Hamad Al Khalifa, serta kerajaan dan rakyat negara itu atas keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah perlumbaan berprestij berkenaan.
“Kami berbesar hati dapat menyokong Bahrain, Formula Satu dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam menganjurkan Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Sheikh Salman dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif F1, Stefano Domenicali.
Anwar berkata, kerjasama tersebut mengukuhkan lagi reputasi Malaysia sebagai destinasi yang memiliki infrastruktur bertaraf dunia, pengalaman luas serta keupayaan operasi yang cemerlang dalam mengendalikan acara antarabangsa berprofil tinggi.
Beliau turut menyatakan Malaysia bersedia menyambut kehadiran pasukan F1, pegawai FIA dan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia, sambil menampilkan hospitaliti tempatan serta memperkukuh hubungan dua hala melalui penganjuran perlumbaan berkenaan.
Terdahulu, Formula Satu mengesahkan Sepang akan menjadi lokasi perlumbaan gantian GP Bahrain pada 4 Oktober depan selepas pusingan asal di Bahrain yang dijadualkan pada April dibatalkan susulan situasi keselamatan di rantau Asia Barat.
Perlumbaan itu akan dikenali secara rasmi sebagai Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia, sekali gus menandakan kembalinya perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
