15 TAHUN MENANTI, PENDUDUK DESAK JEJAMBAT ALAM BUDIMAN

SHAH ALAM – Lebih 200,000 penduduk sekitar Puncak Perdana, Alam Budiman dan Puncak Alam terus merintih menuntut pembinaan jejambat di Persimpangan Alam Budiman selepas menunggu lebih 15 tahun tanpa penyelesaian.

Desakan itu disuarakan menerusi demonstrasi aman yang disertai lebih 100 penduduk di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, dengan replika keranda dan enam kubur berhias diletakkan sebagai simbol kebimbangan terhadap risiko kemalangan maut di laluan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin, 57, berkata cadangan pembinaan jejambat itu telah dikemukakan beberapa kali, termasuk sebelum pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Menurutnya, penduduk kecewa kerana permohonan berkenaan masih belum mendapat penyelesaian konkrit meskipun isu keselamatan di persimpangan itu sudah lama dibangkitkan.

“Kami amat kesal kerana sudah lebih 15 tahun menunggu. Jika jejambat ini dibina, kami yakin jumlah kemalangan di sini dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata, penduduk memahami pembinaan projek berkenaan memerlukan peruntukan besar serta kajian kesesuaian, namun berharap kekangan itu tidak menyebabkan isu keselamatan terus berlarutan.

Kebimbangan penduduk semakin meningkat susulan kemalangan membabitkan sebuah lori yang memasuki laluan bertentangan kira-kira dua minggu lalu.

Katanya, bagi bulan ini sahaja, empat kemalangan dilaporkan berlaku di persimpangan berkenaan, sekali gus menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan itu setiap hari.

“Selepas kejadian itu, ada penduduk memaklumkan kepada saya mereka sudah tidak berani menggunakan persimpangan ini kerana takut terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Penduduk turut mendesak supaya cadangan pembinaan jejambat sepanjang lima kilometer di Persiaran Mokhtar Dahari dipertimbangkan dan disegerakan sebagai penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko pertembungan trafik.

Dalam perkembangan sama, Badrulhisham memaklumkan memorandum tuntutan penyelesaian Persimpangan Alam Budiman telah diserahkan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof, bagi membawa isu berkenaan kepada perhatian pihak berkaitan.

Penduduk berharap memorandum itu mendapat perhatian serius kerajaan negeri dan agensi berkenaan, selain tindakan segera dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya sementara menunggu keputusan mengenai pembinaan jejambat.

Bagi mereka, tuntutan itu bukan sekadar soal keselesaan perjalanan, sebaliknya membabitkan keselamatan dan nyawa ribuan pengguna yang melalui persimpangan tersebut setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *