RCI TABUNG HAJI “BUKAN SENJATA PMX” : TANYA PAS DAN UMNO SIAPA DAN MENGAPA DI TUBUHKAN?

KENYATAAN MEDIA

Saya ingin menjawab naratif pembangkang yang cuba menggambarkan Laporan RCI Tabung Haji sebagai “senjata politik” Kerajaan Madani terhadap UMNO selepas perkembangan politik mutakhir.
Naratif ini tidak selari dengan kronologi sebenar.

1. RCI ini bukan projek PMX.

Cadangan awal penubuhan RCI Tabung Haji mula dibincangkan oleh Jemaah Menteri pada 14 Ogos 2020, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Perdana Menteri.

    Kemudian Suruhanjaya ditubuh secara rasmi oleh jemaah menteri pada 14 julai 2021 dan 20 Jan 2022 perlantikan pesuruhjaya RCI dibuat dengan perkenan Yang DiPertuan Agong. Laporan RCI pula telah disiapkan pada 19 Julai 2022, ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri juga ketika PAS masih berada dalam kerajaan.Menteri agamanya Datuk Ust. Idris Ahmad. Menteri Undang Undangnya Datuk Takiyudin Hassan. Duta Khasnya Tan Seri Hj Abdul Hadi.

    Jadi persoalannya mudah:
    Bagaimana cadangan RCI yang mula dibincangkan oleh jemaah menteri 14 Ogos 2020 masa PAS dan UMNO dalam kerajaan dua Perdana Menteri zaman Muhyiddin dan zaman Ismail Sabri Jadi PM , tiba-tiba dikatakan sebagai projek politik Anwar Ibrahim?

    Jangan pusing jam sejarah. Tarikh tidak boleh dipolitikkan.

    2. PAS sendiri ada dalam kerajaan ketika RCI ini bermula dan selesai menyiapkan laporannya.

    Maka apabila PAS hari ini mendakwa RCI digunakan untuk tujuan politik, rakyat berhak bertanya:
    “Ketika kamu berada dalam kerajaan dan menubuhkan RCI ini apa tujuan politiknya, adakah kamu tidak tahu apa yang sedang berlaku?”

    Kalau tahu, mengapa sekarang mahu menggambarkannya seolah-olah RCI itu baru muncul selepas Anwar menjadi Perdana Menteri?

    3. Kenapa baru sekarang?: Bukan alasan untuk menolak penemuan RCI.

    Ini dua perkara berbeza.
    Pertama: bila RCI ditubuhkan dan laporan disiapkan.
    Kedua: bila laporan tersebut diputuskan untuk didedahkan kepada umum.

    Jangan campurkan kedua-duanya untuk mencipta persepsi bahawa RCI baru diwujudkan oleh Kerajaan Madani.
    Laporan boleh siap pada satu zaman, tetapi proses pentadbiran untuk penerbitannya berlaku kemudian.

    Yang penting ialah isi kandungan laporan tersebut, bukan siapa yang paling bising apabila ia akhirnya diterbitkan.

    4. Kalau tidak setuju dengan RCI, jawab penemuannya bukan serang tarikhnya.

    Saya ingin mencabar pembangkang:
    Kalau mereka berpendapat RCI salah, bantah penemuan RCI dengan fakta.

    Kalau mereka berpendapat cadangannya tidak baik, kemukakan cadangan yang lebih baik.

    Kalau mereka berpendapat tiada masalah tadbir urus, jelaskan mengapa Suruhanjaya membuat penemuan sedemikian.

    Tetapi jangan:
    “Takut isi laporan, lalu serang orang yang membuka laporan.”

    5. Macam surat ditulis pada 2021, siap dan pos pada 2022. Sapa pun tak buka, tetapi apabila surat itu akhirnya dibuka pada 2026, orang yang membuka sampul pula dituduh sebagai penulis surat.
    Itu tidak masuk akal.

    “RCI ini bukan bayi PMX. Ia dikandung pada zaman Muhyiddin, dilahir dan surat beranaknya pada zaman Ismail Sabri, ketika PAS sendiri berada dalam kerajaan.”
    Jadi jangan sekarang apabila kandungan laporan itu tidak menyenangkan, orang yang membuka fail pula dituduh sebagai orang yang mencipta masalah.

    6. Jangan lari daripada isu sebenar iaitu pendeposit.

    Yang paling penting, isu ini bukan tentang UMNO, PAS, PH atau PN.
    Yang menjadi mangsa jika berlaku kelemahan pengurusan ialah pendeposit Tabung Haji.
    Mereka bukan menyimpan wang untuk memenangkan mana-mana parti.
    Mereka menyimpan kerana mahu menunaikan ibadah haji.

    Sebab itu kita perlu melihat RCI dengan politik integriti, bukan politik identiti.
    Melayu tidak perlu dilindungi daripada kebenaran.Islam tidak perlu dilindungi daripada akauntabiliti.
    Yang wajib dilindungi ialah amanah pendeposit.

    7. Saya menyeru PAS dan pembangkang supaya berhenti memutar kronologi.
    RCI ini bukan lahir selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

    Ia bermula pada 2021, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, dan di tubuh secara rasmi dan laporannya siap pada 2022, ketika Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri dengan PAS berada dalam kerajaan pada tempoh tersebut.

    Maka jangan jadikan perkembangan politik 2026 sebagai alasan untuk menulis semula sejarah 2020–2022.

    8 .Jangan pusing jam sejarah. Rakyat boleh baca tarikh. Dan kepada mereka yang bertanya mengapa laporan itu baru didedahkan.
    Jangan hanya tanya siapa yang membuka fail pada 2026. Tanya juga siapa yang memegang kerajaan ketika fail itu ditubuhkan pada 2021 dan siap pada 2022.

    Itulah soalan yang sepatutnya dijawab.
    Politik identiti mahu rakyat bertanya: “Siapa yang menyerang Melayu-Islam?”
    Politik integriti mahu rakyat bertanya: “Siapa yang menjaga amanah pendeposit?”

    Saya memilih politik integriti.

    MAHFUZ OMAR
    PENDEPOSIT TABUNG HAJI
    RABU (19 OGOS 2026)
    MAEPS SERDANG
    SELANGOR DARUL EHSAN.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *