KENYATAAN MEDIA
Saya melihat alasan Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan PAS dan WAWASAN meninggalkan sidang khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan RCI Tabung Haji seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini 14 Ogos 2026 sebagai amat mengecewakan, khususnya kepada jutaan pendeposit yang mahu mengetahui bagaimana institusi amanah mereka diperbaiki.
Tan Sri Hadi berkata, “Dia sendiri tak dengar,” merujuk kepada ketidakhadiran Perdana Menteri.
Saya ingin bertanya:
Ahli Parlimen datang ke Parlimen untuk mendengar Anwar, atau untuk mendengar penjelasan mengenai Tabung Haji?
1. Ini sidang khas RCI Tabung Haji, bukan sidang PMX Anwar Ibrahim.
Kalau benar PAS mahu memperjuangkan kepentingan pendeposit, tumpuan mereka sepatutnya kepada:
Penemuan RCI;
Kelemahan tadbir urus;
Campur tangan politik;
Pematuhan undang-undang;
Pengurusan pelaburan;
Perlindungan wang pendeposit; dan
Cadangan pembaharuan Tabung Haji.
Bukan siapa yang duduk di kerusi Perdana Menteri.
Jangan kelirukan sidang mengenai RCI Tabung Haji dengan sidang mengenai Anwar.
2. Tan Seri kata mereka hanya perlu mendengar. Tetapi apabila penerangan hendak diberikan, mereka keluar.
Inilah percanggahan yang sukar difahami.
Mereka mahu penjelasan.
Kerajaan memberikan ruang untuk penerangan dan perbahasan.
Menteri memberikan penjelasan.
Tetapi mereka meninggalkan Dewan.
Kemudian mereka berkata sesi itu hanya “mendengar” dan tidak perlu dihadiri.
Kalau memang tugas mereka hanya mendengar, kenapa mereka tidak duduk dan mendengar?
Datang mencari jawapan, tetapi keluar sebelum jawapan diberikan. Itu bukan mencari jawapan. Itu mencari alasan.
3. Perumpamaan mudahnya begini.
“Macam Tan Seri pergi hospital kerana sakit perut. Tan Seri minta doktor buat pemeriksaan. Apabila keputusan pemeriksaan hendak dibaca, Tan Seri keluar kerana doktor yang Tan Seri mahu tidak ada.”
Kemudian Tan Seri balik dan berkata, “Hospital itu buang masa.”
Bukan hospital yang buang masa. Tan Seri yang keluar sebelum mengetahui keputusan pemeriksaan itulah yang buang masa. Begitulah juga isu RCI Tabung Haji.
4. PM tidak hadir kerana rawatan, bukan kerana melarikan diri daripada Parlimen.
Perdana Menteri tidak hadir kerana sedang menjalani rawatan dan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan.
Kalau benar pembangkang mahu menunjukkan kematangan, mereka boleh berkata,
“PM tidak dapat hadir kerana rawatan. Kami tetap akan hadir untuk mendapatkan penjelasan dan menjalankan tanggungjawab kepada pendeposit.”
Itulah contoh kepimpinan.
Bukan bila “PM tak ada, kami keluar.”
5. Pembangkang tidak wajib bersetuju dengan penerangan Menteri berkaitan Laporan RCI Tabung Haji tetapi mereka wajib bekerja.
Tugas mereka ialah,
Dengar, soal ,cabar, kritik dan cadangan alternatif. Kalau mereka tidak bersetuju dengan penemuan atau penjelasan RCI, bangun dan bantah dengan fakta.
“Betul Pembangkang bukan dipilih untuk bersetuju dengan apa saja yang di buat kerajaan. Tetapi pembangkang juga bukan dipilih untuk meninggalkan kerja apabila mereka tidak suka formatnya.”
6. Siapa sebenarnya yang membuang masa?
Rakyat memilih Ahli Parlimen untuk datang ke Dewan, bukan sekadar mencatat kehadiran.
Jangan sampai kerja Parlimen hanya tinggal tiga perkara: datang, tekan butang, kemudian keluar.
Macam murid datang sekolah, tulis nama dalam buku kehadiran, kemudian balik sebelum cikgu mengajar. Petang nanti dia marah kerana tidak faham pelajaran.
Kehadiran bukan pengganti tanggungjawab.
7. Pendeposit tidak perlukan politik identiti.
Selama ini rakyat sering diberitahu bahawa Tabung Haji ialah institusi umat Islam.
Saya setuju.
Sebab itulah kita wajib memastikan ia diurus dengan integriti.
Jangan setiap kali kelemahan tadbir urus dibincangkan, rakyat ditakutkan dengan naratif bahawa Melayu dan Islam sedang diserang.
“Melayu tidak perlu dilindungi daripada kebenaran. Islam tidak perlu dilindungi daripada akauntabiliti.”
Yang perlu dilindungi ialah amanah pendeposit.
8. PAS sendiri perlu menjelaskan percanggahan pendirian pada 2016, Setiausaha Agung PAS ketika itu menyatakan keyakinan terhadap kemantapan sistem tadbir urus Tabung Haji.
Kini apabila Laporan RCI mengenai pengurusan TH dibincangkan, wakil PAS memilih meninggalkan Dewan.
Maka rakyat berhak bertanya:
“2016 kata tadbir urus TH mantap. 2026 apabila RCI hendak diterangkan, kata buang masa. Apa yang berubah Tabung Haji atau pendirian PAS?”
Kalau benar yakin dengan pengurusan TH ketika itu, inilah peluang terbaik untuk mereka duduk, mendengar, bertanya dan mempertahankan keyakinan tersebut.
Kesian rakyat (pengundi) beratur, berpanas dan BUANG MASA mengundi Ahli Parlimen PN dari PAS dan WAWASAN dulunya BERSATU yang datang Parlimen lari tinggal tanpa tunai tanggungjawab.
9. Jangan sampai politik semasa mengatasi kepentingan pendeposit.
Saya tidak menuduh MP PAS dan WAWASAN keluar Dewan kerana mahu menjaga hati mana-mana parti.
Tetapi sebagai wakil rakyat, mereka perlu menjawab satu persoalan:
Adakah pertimbangan politik semasa lebih penting daripada peluang untuk meneliti laporan mengenai amanah jutaan pendeposit?
Jika tidak, mengapa keluar?
Saya ingin mengingatkan semua pihak:
Tabung Haji bukan milik UMNO.
Bukan milik PAS.
Bukan milik PH.
Bukan milik mana mana pemimpin.
Ia amanah pendeposit.
Sebab itu kita tidak boleh menggunakan politik ketakutan dan kebencian (identiti) untuk menutup persoalan tadbir urus.
“Yang di takuti Pendeposit ialah penyakau. Mereka mahu Ahli Parlimen memastikan siapa pun yang mengurus amanah mereka tidak menyalahgunakannya.”
Dan kepada Tan Sri Hadi,
“Tan Sri kata Anwar tidak mendengar. Tetapi Tan Sri sendiri memilih untuk tidak mendengar.”
“Anwar tidak hadir kerana rawatan doktor. Tetapi Ahli Parlimen hadir dan keluar kerana alasan.”
Doktor sedang merawat PM waktu sidang khas. MP PAS dan WAWASAN pula sampai hari ini merawat alasan. Tetapi pendeposit Tabung Haji masih menunggu cadangan rawatan dari PAS dan WAWASAN.
Inilah perbezaan politik identiti dengan politik integriti.
Politik identiti membuat rakyat takut.
Politik integriti membuat rakyat yakin.
MAHFUZ OMAR
PENDEPOSIT TABUNG HAJI
ISNIN (7 OGOS 2026)
KLIA TERMINAL 1
SEPANG, SELANGOR DARUL EHSAN
