MADANI TERKINI | MAHA 2026 BAKAL TAMPILKAN PERKAMPUNGAN ABANG MAT

Persiapan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 dijangka siap sepenuhnya pada 27 Ogos, iaitu sehari sebelum dibuka kepada orang ramai, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Beliau berkata, infrastruktur utama di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) telah siap, dengan kerja yang berbaki lebih kepada persiapan dan pemasangan barangan di ruang pameran.

“Pada 28 Ogos, kita akan lihat bagaimana tempat pameran begitu cantik dan hebat pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan MAHA bersama-sama media.

Mohamad berkata, MAHA 2026 yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September ini, mengetengahkan usaha pemodenan sektor pertanian menerusi teknologi serta inovasi.

Ia selaras dengan tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, dengan perasmian dilakukanoleh beliau manakala majlis penutupan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 6 September.

Beliau turut berkata, antara teknologi bakal dipamer ialah jentera pertanian moden dan kenderaan berautomasi selain penggunaan dron yang kini semakin meluas dalam aktiviti pertanian seperti tanaman padi, nanas serta tembikai.

Tambah Mohamad lagi, MAHA kali ini turut menekankan kepentingan rantaian nilai dalam sektor agromakanan supaya petani dan penternak tidak hanya menghasilkan bahan mentah sebaliknya turut mengambil peluang dalam aktiviti hiliran yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Beliau turut memberi contoh hasil seperti susu, nanas dan ubi kayu yang boleh diproses menjadi pelbagai produk sekali gus membuka ruang kepada pengusaha tempatan untuk terlibat dalam rantaian industri pertanian.

“Berpuluh jenis (produk) boleh dihasilkan tetapi apa yang hendak ditanam, itu dia kena tahu, kalauboleh mereka terlibat dalam proses hiliran,” ujarnya lagi dipetik Media Perpaduan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut menampilkan Perkampungan Abang Mat yang mengetengahkan program rewang, warisan makanan dan masakan tradisional serta permainan tradisional sepanjang 10 hari penganjuran pameran tersebut.

“Program di perkampungan ini akan disusun secara berbeza setiap hari untuk memberi pengalaman yang santai dan informatif kepada pengunjung,” jelasnya.

Selain itu, menurutnya lagi, pelbagai acara santai untuk seisi keluarga turut dirangka dengan pelbagai aktiviti termasuk permainan tradisional seperti congkak untuk memberi ruang kepada pengunjung khususnya golongan warga emas berehat.

Tambahan lagi, pengunjung juga berpeluang menyertai cabutan bertuah yang diadakan setiap hari dan menawarkan pelbagai hadiah termasuk dua motosikal selain barangan elektrik sebagai saguhati.

Ahli Parlimen Kota Raja itu turut berkata, MAHA 2026 dijangka menarik lebih empat jutapengunjung selain menghimpunkan kira-kira 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara, termasuk penyertaan 14 negara.

“Kenya akan membuka pavilion buat kali pertama, penyertaan antarabangsa ini turut memberi peluang kepada negara terbabit memperkenal teknologi masing-masing dan meneroka kerjasama dengan pihak Malaysia,” katanya lagi.

Beliau juga menambah penganjuran MAHA 2026 turut dijangka menarik kira-kira 800,000 belia menerusi program automasi, teknologi dan pemodenan pertanian.

Mohamad berkata pihaknya juga sedang mendapatkan kelulusan Kementerian Pendidikan untukmelibatkan pelajar dalam aktiviti MAHA menerusi program kokurikulum.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=y6ZKZ6RhcY4&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *