1. Rakyat sekali lagi memandang serius kenyataan Datuk Zahid Hamidi Presiden UMNO yang mengumumkan hasrat meneruskan kerjasama politik BN dengan PN (“Gelombang biru dan biru pekat akan menular ke Melaka”) menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka. Kenyataan ini mencabar UMNO BN sendiri untuk menyatakan pendirian kedududukan mereka dalam kerajaan Perpaduan.
2. Persoalan yang timbul bukan lagi soal strategi pilihan raya semata-mata. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana langkah tersebut selari dengan kedudukan BN sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
3. Saya ingin mengemukakan beberapa persoalan kepada Datuk Zahid dan pimpinan UMNO BN:
Adakah UMNO BN masih komited sepenuhnya kepada semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk di Putrajaya?
Bagaimana kerjasama dengan PN dalam pilihan raya dapat dijelaskan kepada rakyat sedangkan PN secara terbuka berusaha Menjatuhkan Kerajaan Perpaduan dan mengerakan kempen turun Anwar. Adakah ini Pakatan baru BN PN sebagai gerakan sabotaj Kerajaan Madani.
BN tidak boleh meminta rakyat mempercayai dua kompas yang menunjukkan dua arah yang berbeza.
Kompas yang baik hanya mempunyai satu arah. Kalau jarumnya berpusing mengikut tempat, orang akan hilang arah.
4. Apakah mesej yang ingin dihantar kepada rakyat, pelabur dan penjawat awam apabila parti yang menganggotai kerajaan mengambil pendekatan politik yang menimbulkan persoalan tentang kesepaduan kerajaan?
5. Malaysia ketika ini memerlukan kestabilan politik bagi memastikan agenda reformasi, pemulihan ekonomi dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan yakin dan berterusan.
6. Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar, keyakinan terhadap kestabilan pentadbiran adalah aset negara yang sangat berharga. Sebarang tindakan atau kenyataan yang menimbulkan persoalan tentang kesepaduan kerajaan boleh mengundang persepsi yang menjejaskan keyakinan terhadap hala tuju pentadbiran negara.
7. Saya tidak mempertikaikan hak mana-mana parti menyusun strategi pilihan raya. Kerjasama BN PN adalah hak dan pilihan mereka.
Namun apabila sebuah parti masih menjadi anggota Kerajaan Perpaduan, parti itu juga memikul tanggungjawab untuk memastikan tindakannya tidak menghakis kepercayaan terhadap kerajaan yang sama.
8. Kerajaan dibina dengan angka, tetapi keyakinan dibina dengan konsistensi.
Oleh itu, saya menggesa pimpinan BN menjelaskan pendirian mereka secara terbuka kepada rakyat.
Jika BN masih komited kepada Kerajaan Perpaduan, jelaskan bagaimana kerjasama pilihan raya dengan PN selari dengan komitmen tersebut.
Jika pula BN berpendapat hala tuju politiknya sudah berubah, maka rakyat berhak mengetahui pendirian itu dengan jelas supaya tidak timbul kekeliruan mengenai arah politik negara.
Kalau prinsip sudah berubah, jangan biarkan jawatan menjadi alasan untuk terus kekal.
Pesan orang tua-tua:
“Jangan berteduh di bawah pokok yang sama, tetapi pada masa yang sama mengasah kapak pada batangnya.”
9. Malaysia memerlukan politik yang membina keyakinan, bukan politik yang menimbulkan kekeliruan.
Rakyat tidak hanya menilai siapa yang menang pilihan raya. Rakyat juga menilai siapa yang konsisten memegang prinsip dan siapa yang berani menjelaskan pendiriannya.
MAHFUZ OMAR
NAIB PRESIDEN
PARTI AMANAH NEGARA
ISNIN (3 OGOS 2026)
ALOR SETAR, KEDAH DARUL AMAN
