Tahlil Amalan Orang Melayu Yang Tidak Seharusnya Dipermainkan Sebagai Alat Politik

1. Kenyataan Exco Pemuda UMNO Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali bahawa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam boleh mengguris perasaan orang Melayu kerana tahlil adalah amalan orang Melayu sejak sekian lama. Walaupun tahlil menjadi perdebatan di kalangan ilmuan Islam, amalan tersebut dipenuhi dengan bacaan ayat al-quran, selawat, zikir dan doa yang kandungannya tidak bertentangan dengan syara’.

2. Oleh itu, samaada tahlil adalah syariat ataupun tidak, bukanlah tiket untuk mana-mana individu mempermainkannya sebagai alat politik atau menyindir mana-mana ahli politik terutama orang bukan Islam seolah-olah mereka juga mengamalkan amalan tahlil. Tindakan sebegini boleh menyemarakkan lagi api perkauman kerana amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran ke atas orang bukan Melayu, apatah lagi ia berkaitan amalan dalam Islam.

3. Adalah malang dalam suasana politik hari ini apabila gelombang penyatuan umat cuba memesong pemikiran orang Melayu kononnya Islam terancam, tetapi PAS membisu berkaitan kenyataan Exco Pemuda UMNO tersebut. Demi kuasa, PAS tidak lagi bersuara dalam isu Islam sepertimana isu cabutan khas judi dinaikkan daripada 8 kepada 22 ketika memerintah bersama Perikatan Nasional dahulu. Seharusnya, Exco Pemuda UMNO tersebut menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf di atas keterlanjuran kenyataan-kenyataan beliau berhubung amalan tahlil ini.

Faiz Fadzil

6 Ogos, 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *