MADANI TERKINI | PENGHANTARAN PULANG WARGA MYANMAR TIDAK BERDASARKAN ETNIK

Isu penghantaran pulang membabitkan warga Myanmar antara topik perbahasan di Dewan Rakyat susulan soalan daripada Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang dijawab Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri mengesahkan bahawa setakat ini, tiada pelarian etnik Rohingya yang dihantar pulang ke Myanmar dalam kalangan 10,000 warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

Ini kerana, menerusi perjanjian penghantaran pulang secara sukarela dan tanpa paksaan, mereka yang dihantar pulang bukan mengikut faktor etnik, sama ada dari Rakhine, Karen atau Shan, mahupun Rohingya.

“Dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang tapi ini masih lagi dalam perbincangan.

“Saya percaya Menteri Luar (Dato’ Seri Mohamad Hasan) dan saya, ketika bertemu dengan Presiden, Min Aung Hlaing dalam beberapa hari ini, akan juga bangkitkan isu ini supaya dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya, mana-mana negara yang ingin bawa pulang rakyat mereka dari negara kita, itu kita alu-alukan,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

PMX turut menjawab persoalan Suhaizan mengenai pelan penghantaran pulang warganegara itu selepas mengadakan rundingan dengan kerajaan negara itu melibatkan beberapa kementerian dan agensi kerajaan.

Dalam pada itu, proses penghantaran pulang warga asing tetap akan diteruskan termasuk Myanmar kerana ia merupakam operasi berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, JIM akan menunggu hasil perbincangan dengan Kerajaan Myanmar sebelum melaksanakan fasa seterusnya operasi penghantaran pulang berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya kini menunggu maklum balas Kementerian Luar berhubung hasil rundingan dengan Kerajaan Myanmar bagi menentukan tarikh fasa seterusnya.

“Selepas kita menerima tarikh, kita akan membuat persiapan yang diperlukan dan mengenal pasti mereka yang akan dihantar pulang.

“Ini adalah operasi yang berterusan walaupun selepas kita sudah selesai menghantar 5,000 warga Myanmar yang dipersetujui sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar operasi khas jabatan.

Untuk rekod, menurut data daripada Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang merekodkan lebih 200,000 pelarian dengan kira-kira separuh daripada pemegang kad UNHCR ialah warga Myanmar.

Mereka dijangka dimasukkan ke dalam sistem Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) bagi memudahkan proses semakan dan keberadaan semasa yang diselaraskan antara agensi berkaitan.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=pZ77UFXvsi8&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *