KESIHATAN MENTAL PELAJAR PERLU DICEGAH AWAL

SHAH ALAM – Guru kaunseling dan ahli psikologi kanak-kanak perlu mengambil langkah lebih proaktif dengan menyediakan modul pencegahan bagi menangani isu kesihatan mental pelajar sebelum berlaku perkara yang menjejaskan keselamatan dan disiplin mereka.

Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, cabaran keselamatan murid kini tidak lagi hanya tertumpu kepada aspek fizikal seperti gangguan pihak luar, keracunan makanan atau keselamatan bangunan, sebaliknya semakin berkait dengan kesihatan mental.

Menurutnya, pendekatan kaunseling yang diamalkan sebelum ini lebih banyak memberi tumpuan kepada intervensi selepas sesuatu masalah berlaku, sedangkan langkah pencegahan perlu diperkasakan bagi mengenal pasti tanda awal tekanan emosi dan masalah psikologi dalam kalangan pelajar.

“Perkara asas yang perlu dilakukan adalah meningkatkan hubungan baik antara pihak sekolah dengan ibu bapa. Selepas itu barulah isu lain seperti pencapaian akademik dan kesihatan mental dapat dibincangkan secara bersama.

“Tidak sepatutnya ibu bapa menghantar anak ke sekolah dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan kepada pihak sekolah kerana pendidikan sebenar memerlukan kerjasama kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar Edisi Ke-490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia?’ yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel ialah Profesor Ekonomi UKM, Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali dan Pencipta Kandungan Ekonomi, Faiz Ahmad, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, sekolah yang berjaya menggalakkan penglibatan ibu bapa secara aktif dalam pembangunan pendidikan lazimnya mempunyai sokongan lebih menyeluruh terhadap perkembangan murid.

Katanya, isu kesihatan mental pelajar perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat kerana cabaran tersebut semakin kompleks.

Dalam pada itu, beliau berpandangan penggunaan teknologi secara berlebihan tidak begitu diperlukan bagi murid sekolah rendah kerana mereka masih berada pada tahap menguasai asas pendidikan.

“Pada tahap ini, mereka perlu menguasai asas seperti membaca, menulis dan berkomunikasi. Penggunaan teknologi mungkin lebih diperlukan apabila mereka berada di sekolah menengah bagi mendapatkan maklumat dan menyokong pembelajaran.

“Saya menghargai usaha Kementerian Pendidikan yang telah mengambil perhatian terhadap pelbagai aspek kesihatan dan keselamatan fizikal murid.

“Sesetengah sekolah sudah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), sistem kawalan keluar masuk serta audit terhadap kantin. Aspek itu semakin diberi perhatian, namun cabaran besar yang perlu ditangani sekarang ialah kesihatan mental pelajar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *