BEIJING – Tiga murid Malaysia mencipta kejutan apabila muncul juara dan meraih pingat emas dalam kategori Puck Collector Junior pada Kejohanan Robotik Dunia (World Robot Challenge) ke-23 di Beijing, China, baru-baru ini.
Kejayaan Che Raeesa Che Rostami, 12, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Melawati 2; Anaqi Azizi Asnur Azizi, 11, dari SK Putrajaya Presint 16 (2) dan Wan Umar Wan Azlan, 10, dari SK Taman Tun Dr Ismail 1, Kuala Lumpur, lebih membanggakan selepas berdepan persaingan sengit dengan pasukan tuan rumah.
Cabaran semakin getir apabila robot Malaysia mengalami beberapa masalah teknikal ketika pertandingan, termasuk kerosakan komponen yang menjejaskan keupayaan mengutip puck.
Dalam aksi mendebarkan menentang China, pasukan Malaysia turut berdepan kesukaran memasukkan puck, selain perlu menggunakan masa yang terhad untuk membaiki robot dan memastikan ia kembali berfungsi.
Namun, ketabahan serta kecekapan pasukan mengatasi masalah teknikal membuahkan hasil apabila Malaysia dinobatkan sebagai juara sekali gus membawa pulang emas.
Che Raeesa berkata, kejayaan itu menjadi pengalaman paling bermakna buat dirinya, terutama apabila berpeluang menaiki pentas menerima pingat untuk negara.
Selain emas berkenaan, satu lagi pasukan Malaysia turut meraih gangsa dalam kategori Puck Collector Junior, sekali gus memperlihatkan keupayaan peserta muda negara bersaing di pentas antarabangsa.
Secara keseluruhan, Malaysia membawa pulang lima pingat, iaitu dua emas, satu perak dan dua gangsa menerusi empat kategori yang dipertandingkan.
Emas kedua disumbangkan Cheong Zhen Hao, Lee Jian Kai dan Yap Yu Min dalam kategori Robobowling Senior, manakala pingat perak diraih Elijah Shreyash Nair dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy dalam kategori Puck Collector Senior.
Dua lagi gangsa dimenangi menerusi Cheah Cheng You, Keith Chan dan S. Avighna Sivam dalam kategori Puck Collector Junior serta M. Nethish Sharmaa dan Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis dalam kategori Freestyle Junior.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan lebih 5,000 peserta dan peminat robotik dari lebih 40 negara, dengan seramai 92 wakil Malaysia berusia antara sembilan hingga 18 tahun menyertai pelbagai kategori.
Kejayaan itu turut mencerminkan hasil pembangunan bakat secara berterusan apabila peserta Malaysia menjalani persediaan sejak tahun lalu, termasuk latihan mingguan untuk menguji robot, memperkemas kod serta meningkatkan kelajuan dan prestasi.
Pengarah Projek World of Robotics Sdn. Bhd., Michelle Choo berkata, pencapaian tersebut bukan hasil usaha dalam tempoh singkat, sebaliknya menerusi proses pembangunan bakat muda sejak 2016 melalui pertandingan robotik di peringkat kebangsaan.
Menurutnya, pengalaman pertandingan bukan sahaja membentuk kemahiran teknikal peserta dalam reka bentuk, pembinaan dan pengaturcaraan robot, malah melatih mereka menyelesaikan masalah, berkomunikasi dan membuat keputusan secara lebih berdikari.
Kejayaan pelajar Malaysia di Beijing membuktikan generasi muda negara mempunyai potensi besar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta mampu bersaing dengan peserta terbaik dari seluruh dunia.
