PETALING JAYA – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan maut yang meragut nyawa seorang pelajar latihan industri ketika menjalankan kerja pembersihan tangki air di Menara Saujana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun lalu.
Mangsa, Muhammad Adam Danish Mohd. Anuar, 24, yang merupakan penuntut tahun akhir Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), dilaporkan meninggal dunia ketika menjalankan tugasan penyelenggaraan di kolam takungan air bangunan berkenaan.
Ketua Pengarah JKKP, Hazlina Yon berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan telah mengambil tindakan segera sebaik menerima laporan kejadian dengan menghantar pegawai penyiasat ke lokasi untuk menjalankan siasatan terperinci.
Menurut beliau, JKKP turut mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian bagi memastikan bukti di lokasi dikekalkan sementara siasatan dijalankan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang berkaitan. Sekiranya terdapat pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri dan pihak berkaitan dalam memastikan keselamatan serta kebajikan pekerja.
Dalam konteks pendidikan dan latihan industri, tragedi itu menjadi peringatan penting kepada semua institusi pengajian tinggi serta majikan agar memastikan pelajar yang menjalani latihan industri diberikan perlindungan keselamatan yang mencukupi ketika melaksanakan tugasan di tempat kerja.
Hazlina menegaskan bahawa pelajar latihan industri dan pekerja baharu perlu diberikan latihan keselamatan, taklimat risiko serta pemantauan oleh penyelia yang kompeten, khususnya apabila terlibat dalam kerja berisiko tinggi seperti operasi di ruang terkurung dan kawasan takungan air.
Menurutnya, setiap majikan bertanggungjawab mengenal pasti risiko kerja terlebih dahulu serta memastikan semua prosedur keselamatan, permit kerja dan langkah kawalan dilaksanakan sebelum pekerja dibenarkan memasuki kawasan berbahaya.
Beliau turut mengingatkan bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan hanya tanggungjawab majikan, malah melibatkan semua pihak termasuk vendor, kontraktor dan organisasi yang menerima pelajar latihan industri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.51 pagi itu, mangsa dipercayai berada di atas tangki air sebelum tersedut ke dalam sistem takungan berkenaan dan gagal menyelamatkan diri.
JKKP turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap hasil siasatan dapat membantu memperkukuhkan aspek keselamatan di tempat kerja, sekali gus mengelakkan tragedi serupa daripada berulang, khususnya melibatkan pelajar yang sedang menimba pengalaman melalui latihan industri.
