Persaingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat semakin sengit.
Terutamanya apabila kedua-dua gabungan masih belum memperoleh jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri, berdasarkan tinjauan terbaharu Vodus Research.
Kajian itu mengunjurkan PH mendahului di 17 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti BN dengan 15 kerusi.
Manakala Perikatan Nasional (PN) dijangka memenangi dua kerusi dan dua lagi kerusi pula masih dianggap terlalu sengit untuk diramalkan.
Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh berkata, majoriti mudah memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi.
Di mana ia sekali gus membuka kemungkinan tiada gabungan memperoleh mandat mencukupi untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Menurutnya lagi, PH mendahului undi popular dengan 42 peratus, diikuti BN sebanyak 35 peratus, PN tujuh peratus dan calon Bebas dua peratus.
Manakala 14 peratus pengundi masih belum membuat keputusan.
Beliau menjelaskan, kelebihan PH dalam undi popular tidak semestinya diterjemahkan kepada kemenangan kerusi kerana sistem pilihan raya ‘first-past-the-post’ bergantung kepadataburan sokongan mengikut kawasan.
Malah katanya, walaupun BN mempunyai lebih banyak kerusi yang mendahului dengan selesa, PH kini berada di hadapan di kebanyakan kerusi marginal.
Dan ia sekali gus memberikan sedikit kelebihan kepada gabungan itu.
Kajian turut menunjukkan terdapat corak sokongan berbeza mengikut demografi pengundi di mana BN mendahului dalam kalangan pengundi Bumiputera.
Manakala PH kekal dominan dalam kalangan pengundi Cina serta memperoleh sokongan tertinggi dalam kumpulan etnik lain.
Dari segi isu pula, kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama pengundi dengan 55 peratus responden meletakkannya sebagai isu paling penting.
Diikuti dengan peluang pekerjaan dan gaji, kemampuan memiliki rumah serta rasuah dan tadbir urus.
Sementara itu, kira-kira 30 peratus responden masih belum membuat keputusan muktamad.
Manakala kadar keyakinan untuk keluar mengundi juga dilihat lebih rendah berbanding pilihan raya sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, calon PH bagi DUN Chembong, Danish Nazran Murad, 27, mengakui tidak menyangka diberi kepercayaan untuk bertanding pada PRN kali ini.
Beliau bagaimanapun menyifatkan mandat itu sebagai amanah besar dan berjanji akan bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Danish berkata, maklum balas yang diterima daripada pengundi setakat ini amat menggalakkan walaupun beliau turut berdepan kritikan daripada segelintir pihak.
Namun, beliau turut menegaskan perkara itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk terus mendekati rakyat.
PRN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 1 Ogos, dengan keputusan dijangka banyak ditentukan oleh prestasi kempen di kerusi-kerusi marginal.
Selain kadar keluar mengundi serta kemampuan setiap gabungan mengekalkan sokongan pengundi di kawasan tumpuan.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=dPa8v3KAQzw&ra=m
