PENYERTAAN PdPR MURID SEKOLAH RENDAH DI JOHOR BAWAH 30 PERATUS

JOHOR BAHRU – Kurang daripada 30 peratus murid sekolah rendah di Johor mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) susulan penutupan sekolah akibat jerebu, berbanding kira-kira 70 peratus bagi pelajar sekolah menengah.

Pengerusi Persatuan Penglibatan Ibu Bapa dan Komuniti Swasta Negeri Johor, Datuk Yahya Jaafar berkata, kadar penyertaan rendah itu dipercayai berpunca daripada kekangan ibu bapa yang bekerja, selain kekurangan peranti dan ketiadaan bimbingan di rumah.

Beliau berkata, keadaan itu membimbangkan kerana penutupan sekolah dalam tempoh yang panjang boleh menjejaskan kelancaran pembelajaran murid, khususnya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang perlu membuat persediaan menghadapi peperiksaan.

Menurutnya, situasi ketika ini berbeza berbanding pandemik Covid-19 apabila lebih ramai ibu bapa berada di rumah untuk membantu anak mengikuti PdPR, sedangkan kini kebanyakan mereka perlu bekerja dan tidak dapat memantau pembelajaran secara langsung.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa langkah pencegahan sekiranya sesi persekolahan secara bersemuka diteruskan, termasuk mempertimbangkan pemakaian pelitup muka di dalam kelas serta mengehadkan aktiviti murid di kawasan terbuka bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.

Bagi sekolah berasrama pula, Yahya mencadangkan pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan di dalam kawasan asrama dengan bimbingan guru, sekali gus membantu mengawal pergerakan murid sepanjang tempoh jerebu.

Beliau turut mencadangkan kerajaan dan majikan mempertimbangkan kelonggaran cuti kepada ibu bapa, termasuk penggunaan cuti tahunan atau cuti bencana jika bersesuaian, bagi membolehkan mereka membimbing anak mengikuti PdPR di rumah.

Langkah itu penting bagi memastikan murid, khususnya di peringkat sekolah rendah yang masih memerlukan pemantauan rapat, tidak ketinggalan dalam pelajaran akibat gangguan persekolahan.

Dalam masa sama, kerjasama antara pihak sekolah, ibu bapa dan pihak berkuasa amat penting bagi memastikan keselamatan serta kesihatan murid terus diutamakan tanpa mengabaikan kesinambungan pembelajaran ketika berdepan situasi jerebu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *