KUALA LUMPUR – Majoriti murid berbangsa Cina di negara ini masih memilih untuk melanjutkan pendidikan menengah di sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekali gus menunjukkan sistem pendidikan kebangsaan terus menjadi pilihan utama masyarakat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setakat tahun ini, seramai 260,699 muridberbangsa Cina mengikuti pendidikan di sekolah menengah KPM, berbanding 75,144 murid di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang menggunakan sistem Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dan 51,563 murid di institusi pendidikan swasta.
Katanya, daripada keseluruhan 387,406 murid berbangsa Cina di peringkat menengah, sebanyak 67.3 peratus memilih sekolah bawah KPM, 19.4 peratus mengikuti sistem UEC, manakala 13.3 peratus lagi berada di institusi pendidikan swasta.
Menurut beliau, statistik itu membuktikan sebahagian besar murid Cina terus mendapat pendidikan menerusi sistem kebangsaan yang diselia KPM, selain mencerminkan kepelbagaian pilihan pendidikan yang wujud di negara ini.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai peratusan pelajar Cina yang mengikuti sistem pendidikan UEC berbanding sekolah aliran kebangsaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina turut menegaskan kedudukan UEC kekal seperti dasar sedia ada kerana peperiksaan tersebut dilaksanakan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).
Katanya, pendirian kerajaan berhubung UEC adalah selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) serta pengumuman Perdana Menteri pada 20 Januari 2026, sekali gus mengekalkan dasar semasa berkaitan pengiktirafan sijil berkenaan.
Fadhlina berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kualiti pendidikan di sekolah bawah KPM melalui penambahbaikan kurikulum, pembangunan profesional guru serta penyediaan kemudahan pembelajaran yang lebih kondusif agar sistem pendidikan kebangsaan kekal relevan, inklusif dan mampu memenuhi keperluan semua murid tanpa mengira latar belakang.
