PENGUNDIAN AWAL LINGGI LANCAR, AMINUDDIN YAKIN PERATUS KELUAR MENGUNDI  TINGGI

PORT DICKSON – Proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pusat Mengundi Awal Dewan Tan Sri Mohammad, Kem Segenting, Si Rusa di sini berlangsung lancar sebaik sahaja dibuka secara rasmi pada pukul 8 pagi ini.

Tinjauan di pusat berkenaan mendapati anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasangan mereka mula hadir seawal pukul 7.30 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal dalam suasana teratur dan terkawal.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun turut hadir meninjau perjalanan proses pengundian kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum bertemu petugas pilihan raya dan media.

Menurut beliau, budaya disiplin yang tinggi dalam kalangan anggota pasukan keselamatan memberi keyakinan bahawa kadar keluar mengundi bagi pengundian awal di kawasan itu akan berada pada tahap yang sangat memberangsangkan.

Katanya, kehadiran pengundi sejak awal pagi termasuk bersama pasangan masing-masing mencerminkan komitmen anggota keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat untuk memilih wakil rakyat.

“Pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera amat berdisiplin. Saya yakin peratusan mereka keluar mengundi akan tinggi.

“Kita lihat sejak awal lagi mereka hadir bersama keluarga untuk mengundi. Ini menunjukkan disiplin tinggi dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

“Insya-Allah, peratusan keluar mengundi di pusat pengundian awal ini akan menjadi antara yang tertinggi pada pilihan raya kali ini,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan sebelum itu turut meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bagi memastikan perjalanan proses demokrasi berjalan lancar.

Seramai 2,222 pengundi awal termasuk pasangan anggota berdaftar untuk mengundi di pusat pengundian awal Kem Segenting yang menjadi antara lokasi utama pengundian awal di daerah Port Dickson.

Kerusi DUN Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Datuk Seri Aminuddin Harun mewakili PH, Datuk Mohd. Faizal Ramli daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Zamri Md. Said yang mewakili Bersatu.

Pengundian awal dilihat sebagai petunjuk penting menjelang hari pengundian rasmi Sabtu ini, dengan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi awal dijangka memberi gambaran awal terhadap tahap penyertaan pengundi pada PRN Negeri Sembilan kali ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *