JOHOR BAHRU – Kejayaan dalam bidang kejuruteraan tidak lagi menjadi monopoli golongan lelaki apabila Pengarah Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Ir. Dr. Asnida Abdul Wahab membuktikan wanita mampu mencipta kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Anak kelahiran Pulau Pinang yang dilahirkan pada 29 Januari 1984 itu kini menjadi antara tokoh akademik yang aktif memacu penyelidikan dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, khususnya melibatkan pemprosesan imejan perubatan, kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan peranti bantuan bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Perjalanan pendidikan beliau bermula di Sekolah Kebangsaan Sungai Nibong sebelum meneruskan persekolahan di SMKA (P) Al-Mashoor dan MRSM Bitara Langkawi. Berasal daripada keluarga sederhana, beliau mula membantu perniagaan keluarga sejak berusia sembilan tahun, sekali gus membentuk sifat berdikari dan cekal.
Pengalaman menyambung pengajian di United Kingdom turut membuka ruang kepadanya bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan sehingga menerima Queen Golden Jubilee Voluntary Award pada tahun 2007. Namun, pemergian bapanya ketika tahun pertama pengajian menjadi detik paling mencabar yang menguatkan azamnya untuk terus berjaya demi keluarga.
Selepas menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya di sektor korporat bersama Maxis Communication Berhad sebelum kembali ke dunia akademik dengan menyambung pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan di UTM.
Menurut Dr. Asnida, cabaran terbesar sepanjang kerjayanya adalah mengimbangi tanggungjawab sebagai akademik, pentadbir, isteri dan ibu kepada empat cahaya mata. Pada tahun 2022, ketika dilantik sebagai Pengarah Jabatan, beliau baru melahirkan anak keempat selain perlu berulang-alik dari Johor ke Pulau Pinang bagi menjaga ibunya yang menghidap kanser sehingga meninggal dunia pada tahun berikutnya.
Katanya, setiap cabaran yang dilalui bukan penghalang untuk berjaya, sebaliknya menjadi kekuatan untuk terus meningkatkan keupayaan diri dalam kerjaya dan kehidupan.
Beliau percaya wanita mampu mencapai kejayaan dalam bidang profesional sekiranya bijak mengurus keutamaan, selain mendapat sokongan padu daripada keluarga dan majikan.
Dalam bidang penyelidikan, Dr. Asnida berjaya menghasilkan pelbagai inovasi yang memberi impak kepada masyarakat, termasuk projek TeddyTherapy yang direka bagi membantu kanak-kanak autisme dan berjaya meraih pingat emas pada pertandingan INATEX 2024.
Selain itu, beliau turut memainkan peranan sebagai Subject Matter Expert (SME) Jawatankuasa Penilaian Produk–National Institutes of Health (JPP-NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Teknikal Halal Jabatan Standard Malaysia serta Profesor Pelawat di Universitas Andalas, Indonesia.
Beliau juga aktif menjayakan program komuniti menerusi pelbagai inisiatif mempromosikan pendidikan STEM kepada pelajar sekolah, program kesedaran kesihatan dan aktiviti bersama kanak-kanak autisme bagi memperluaskan manfaat hasil penyelidikan kepada masyarakat.
Mengulas mengenai penglibatan wanita dalam bidang kejuruteraan, beliau menegaskan kemahiran, ilmu pengetahuan serta komitmen merupakan faktor utama yang menentukan kejayaan seseorang, bukannya jantina.
“Saya sering menjadi satu-satunya wanita yang turun ke tapak projek bersama jurutera lelaki. Namun selagi kita berilmu, berkemahiran dan komited, wanita mampu memberi sumbangan besar kepada negara,” katanya.
Beliau turut menggalakkan lebih ramai pelajar perempuan memilih bidang STEM dan kejuruteraan sebagai laluan kerjaya kerana sektor itu menawarkan peluang luas untuk mencipta inovasi yang mampu menyelesaikan pelbagai cabaran kehidupan.
Bagi Dr. Asnida, kejayaan sebenar bukan sekadar memperoleh jawatan atau pengiktirafan, tetapi bagaimana ilmu dan kepakaran dimanfaatkan bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta melahirkan lebih ramai generasi muda yang berani meneroka bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
