SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak yakin pengundi di kawasan itu akan membuat pilihan berdasarkan rekod perkhidmatan dan penyelesaian isu rakyat, sekali gus membuka peluang kepada PH merampas semula kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, sepanjang lebih tiga tahun menggalas tanggungjawab sebagai Penyelaras DUN Labu, pendekatan turun padang secara konsisten menjadi keutamaan bagi mengenal pasti serta menyelesaikan pelbagai masalah penduduk di setiap kampung dan taman perumahan.
Ahmad Faez berkata, sebanyak 498 program telah dilaksanakan menerusi pusat khidmat DUN sepanjang tempoh itu bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat selain memastikan penyampaian bantuan serta perkhidmatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Beliau berkata, antara pencapaian utama yang berjaya direalisasikan ialah penyelesaian isu jambatan uzur di Kampung Labu Hilir yang sebelum ini mengundang kebimbangan penduduk akibat hakisan tanah dan struktur yang tidak lagi selamat digunakan.
Katanya, selepas menerima aduan daripada Ketua Kampung Labu Hilir, tindakan segera diambil dengan menutup laluan berkenaan demi keselamatan sebelum permohonan pembinaan jambatan baharu dikemukakan kepada kerajaan negeri.
Menurut beliau, projek pembinaan jambatan baharu bernilai RM430,000 yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berjaya disiapkan dalam tempoh kira-kira empat bulan, sekali gus menyediakan laluan lebih selamat kepada penduduk.
Beliau berkata, jambatan baharu itu dibina berhampiran lokasi asal kerana kedudukan jambatan lama terlalu hampir dengan rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), sekali gus mengatasi kekangan yang dihadapi sebelum ini.
Mengulas baki tempoh kempen, Ahmad Faez berkata beliau akan terus mempergiatkan usaha bertemu seramai mungkin pengundi bagi menjelaskan perancangan pembangunan serta mendapatkan maklum balas secara langsung daripada rakyat.
Beliau turut menyifatkan dakwaan wujudnya “gelombang biru” di Negeri Sembilan tidak begitu ketara, malah percaya pengundi akan membuat penilaian berdasarkan prestasi calon dan bukannya sentimen politik semata-mata.
Kerusi DUN Labu yang mempunyai 32,884 pengundi berdaftar menyaksikan saingan tiga penjuru apabila Ahmad Faez berdepan penyandang daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad Hanifah Abu Baker, serta calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hasim.
