PENGUNDI MUDA DISARAN NILAI REKOD, BUKAN RETORIK

SEREMBAN – Pengundi muda dan pengundi kali pertama di Negeri Sembilan disaran membuat pilihan secara rasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan menilai rekod pentadbiran serta keberkesanan dasar yang telah dilaksanakan, bukannya dipengaruhi semata-mata oleh slogan atau retorik kempen.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Fadly Abdul Rahman berkata, rekod pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menunjukkan komitmen berterusan terhadap pembangunan modal insan, khususnya melibatkan golongan belia dan mahasiswa.

Beliau berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) terus diberi mandat mentadbir Negeri Sembilan, pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan muda dijangka dapat diteruskan serta diperkasakan.

Menurutnya, antara program yang telah dilaksanakan ialah Bantuan Sara Hidup Dermasiswa Mahasiswa Anak Negeri Sembilan sebanyak RM200 sebulan, pemberian komputer riba kepada pelajar daripada keluarga B40 yang layak serta pelbagai program meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Katanya, pendekatan kempen PH yang menonjolkan rekod pentadbiran dan pencapaian kerajaan negeri dilihat menyasarkan kelompok pengundi muda yang lebih memberi perhatian kepada isu pendidikan, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.

Ahmad Fadly berkata, sekiranya pelaksanaan bantuan pendidikan dan program pembangunan belia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, aspek tersebut wajar dijadikan antara kayu ukur dalam menilai prestasi kerajaan semasa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa tiada mana-mana gabungan politik yang sempurna kerana setiap parti mempunyai kekuatan, kelemahan dan rekod pentadbiran masing-masing.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pengundi menilai beberapa aspek penting termasuk kemampuan manifesto dilaksanakan, rekod pencapaian calon di kawasan masing-masing, keupayaan menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan, selain faktor integriti serta komitmen calon untuk berkhidmat kepada rakyat.

Menurutnya, amalan demokrasi yang matang menuntut pengundi membuat keputusan berdasarkan fakta, prestasi dan dasar yang ditawarkan kerana pilihan yang dibuat pada PRN kali ini bakal menentukan hala tuju pembangunan Negeri Sembilan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *