POLIS SIASAT DAKWAAN SOGOKAN PENGUNDI PRN

SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan membuka tiga kertas siasatan baharu termasuk satu membabitkan dakwaan cubaan menyogok pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas menerima laporan berkaitan mesej tular melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, siasatan berhubung dakwaan sogokan itu dijalankan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 susulan laporan yang dibuat seorang lelaki berusia 29 tahun di Kuala Klawang, Jelebu pada 28 Julai lalu.

Menurut beliau, pengadu mendakwa menerima mesej WhatsApp yang memaklumkan seorang calon parti politik menerima maklumat mengenai individu tidak dikenali yang didakwa akan mengagihkan wang kepada kumpulan tertentu pengundi, dikenali sebagai ‘pengundi putih’.

Katanya, siasatan sedang dijalankan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut termasuk mengenal pasti individu yang terlibat serta sumber penyebaran mesej berkenaan.

Selain itu, polis turut membuka satu lagi kertas siasatan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyebaran kandungan berunsur hasutan berkaitan pilihan raya melalui media sosial.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana kandungan yang disebarkan dipercayai berpotensi mengganggu ketenteraman awam selain melanggar peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya dan komunikasi.

Dalam perkembangan berasingan, polis turut menyiasat satu kes khianat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan selepas sebuah sepanduk memaparkan gambar seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan di Jalan Chuah Site C, Port Dickson dilaporkan dikoyakkan.

Alzafny berkata, sepanjang tempoh 18 hingga 28 Julai lalu, sebanyak 62 laporan polis diterima berkaitan PRN Negeri Sembilan dengan 19 kertas siasatan telah dibuka melibatkan pelbagai kesalahan pilihan raya.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 76 permohonan permit ceramah dan aktiviti politik diterima pada 28 Julai dan semuanya diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

Secara keseluruhan, sebanyak 638 permohonan permit diterima sejak tempoh kempen bermula pada 18 Julai, dengan 612 daripadanya telah diluluskan. Polis menegaskan semua program politik yang diberi permit akan terus dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *