Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada empat pertuduhan.
Ia membabitkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sekali gus menolak rayuan akhir pihak pendakwaan.
Keputusan majoriti 2-1 itu menyaksikan Hakim Dato’ Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Dato’ Collin Lawrence Sequerah menolak rayuan pendakwaan.
Manakala Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memberikan keputusan berbeza dengan mendapati Syed Saddiq bersalah terhadap tiga pertuduhan.
Bagaimanapun, keputusan majoriti mengekalkan pembebasan penuh Ahli Parlimen Muar itu.
Keputusan tersebut sekali gus mengesahkan penghakiman Mahkamah Rayuan pada 25 Jun 2025 yang mengetepikan sabitan Mahkamah Tinggi pada November 2023.
Di mana ia termasuk hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, Syed Saddiq kekal sebagai Ahli Parlimen Muar kerana tiada lagi sabitan jenayah yang boleh menjejaskan kelayakannya di bawah Perkara 48(1)(e) PerlembagaanPersekutuan.
Ketika ditemui media di Istana Kehakiman, Syed Saddiq menyifatkan keputusan berkenaan sebagai bukti kebebasan institusi kehakiman negara.
Di samping menegaskan keyakinannya bahawa sistem perundangan Malaysia terus berfungsi sebagai benteng terakhir untuk menegakkan keadilan.
Beliau turut berkata, sepanjang hampir enam tahun berdepan proses perundangan, dirinya tidak pernah meminta layanan istimewa atau tunduk kepada tekanan kerana percaya berada di pihak yang benar.
“Saya berharap selepas keputusan ini, saya dapat terus mempertahankan institusi keadilan negara, kebebasan badan kehakiman dan institusi yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat,” katanya.
Mengulas mengenai hala tuju politik, Syed Saddiq berkata beliau akan terus bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Namun mahu mengambil sedikit masa untuk menyusun langkah seterusnya selain memberi tumpuan kepada keluarga serta kehidupan peribadi.
Dalam alasan penghakiman majoriti, Hakim Dato’ Che Mohd. Ruzima memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting bagi kesalahan yang didakwa.
Beliau turut menegaskan prinsip anggapan tidak bersalah mesti dihormati dan syak wasangka semata-mata tidak boleh menggantikan bukti kukuh dalam sesuatu pendakwaan jenayah.
Mahkamah turut berpandangan bahawa wang RM120,000 yang menjadi pertikaian bukan lagi milik Armada Bumi Bersatu Enterprise selepas diserahkan bagi tujuan pembiayaan kempen politik.
Maka, ia sekali gus menyokong dapatan bahawa Syed Saddiq mempunyai hak benefisial terhadap wang berkenaan.
Hakim Dato’ Collin Lawrence Sequerah turut bersetuju dengan alasan tersebut dalam penghakimannya.
Sepanjang prosiding, suasana dewan mahkamah dipenuhi ahli keluarga serta penyokong Syed Saddiq yang menunggu dengan penuh debaran sebelum keputusan diumumkan.
Malah, prosiding turut mencuit perhatian apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin secara berseloroh meminta penangguhan seketika untuk ke tandas ketika panel hakim masih belum mencapai keputusan muktamad.
Dan sekali gus menceriakan suasana tegang di dalam mahkamah.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu menamatkan sepenuhnya episod perundangan yang bermula sejak 2020 dan mengakhiri semua prosiding jenayah terhadap Syed Saddiq berhubung dana Armada.
Seterusnya, membolehkan beliau meneruskan tugas sebagai Ahli Parlimen Muar tanpa sebarang sekatan undang-undang.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=1Mn0tQPni3s&ra=m
