SEREMBAN – Penduduk Kampung Kayu Ara, Mambau, di sini, meluahkan keresahan selepas anak sungai berhampiran kawasan kediaman mereka dicemari sisa cecair dipercayai daripada sebuah premis memproses organ dalaman haiwan untuk dijadikan makanan ikan.
Aduan penduduk mengenai pencemaran air dan bau busuk yang mengganggu kehidupan harian mereka membawa kepada tindakan penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada 30 Ogos lalu.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Baharuddin, berkata pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan organ dalaman haiwan dan didapati membuang sisa cecair ke dalam anak sungai berhampiran.
Katanya, ketika serbuan, dua lelaki warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) didapati berada di premis berkenaan, manakala pemilik premis yang merupakan warga tempatan tidak berada di lokasi.
“Susulan itu, MBS mengeluarkan kompaun kerana premis beroperasi tanpa lesen serta menyita sebuah pemampat air, sebuah motor aruhan dan tiga fius.
“Notis arahan memberhentikan operasi dan penutupan premis turut dikeluarkan serta ditampal di lokasi, selain pita sitaan MBS direntang di premis,” katanya.
Pemeriksaan susulan mendapati premis terbabit mematuhi arahan penutupan dan pekerja warga asing berkenaan juga tidak lagi berada di lokasi.
Operasi turut mendapat kerjasama Jabatan Alam Sekitar (Unit Forensik) dan Jabatan Imigresen bagi memastikan punca pencemaran serta aspek pematuhan undang-undang berkaitan dapat ditangani.
Penduduk berharap tindakan tegas dan pemantauan berterusan dapat dilakukan supaya kejadian sama tidak berulang, selain memastikan anak sungai di kawasan mereka kembali bersih dan tidak lagi mengeluarkan bau busuk yang menjejaskan ketenteraman serta keselesaan penduduk.
