KOTA BHARU – Penduduk sekitar Kuala Besar dan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini meluahkan kebimbangan apabila kawasan berkenaan didakwa menjadi laluan kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) sejak kira-kira tiga bulan lalu.
Menurut penduduk, kegiatan itu dipercayai berlaku hampir setiap hari, terutama pada tengah malam hingga awal pagi, apabila bot fiber membawa puluhan PATI mendarat di tebing Sungai Kelantan sebelum mereka segera dibawa keluar menggunakan kenderaan.
Penduduk Kuala Besar, Ibrahim Alang, 50, berkata, kegiatan berkenaan bukan sahaja menimbulkan keresahan, malah mengubah keadaan kampung apabila semakin banyak kenderaan tidak dikenali keluar masuk pada waktu tertentu.
“Antara 20 hingga 30 PATI dipercayai dibawa menggunakan bot fiber setiap hari. Mereka dikatakan diambil dari beberapa pulau di Tumpat sebelum dihantar ke Kuala Besar dan PCB.
“Lebih membimbangkan, sindiket terbabit pernah memberi amaran kepada penduduk supaya tidak mencampuri kegiatan mereka,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Seorang pemancing, Azman Ali, 28, berkata, dia sendiri pernah melihat sebuah bot fiber membawa muatan PATI menghampiri tebing Sungai Kelantan sebelum mereka dipindahkan kepada ‘transporter’.
Katanya, proses pemindahan berlaku dalam tempoh singkat bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan penduduk atau pihak berkuasa.
“Penyeludup tidak menunggu lama selepas mendaratkan PATI. Tidak lama kemudian, ‘transporter’ akan membawa mereka keluar menggunakan kereta,” katanya.
Seorang lagi pemancing, Haris, 30, pula mendakwa pernah terserempak dengan sekumpulan individu yang bersembunyi di kawasan semak pada awal pagi.
Katanya, percakapan mereka yang tidak difahami menimbulkan syak bahawa kumpulan berkenaan merupakan PATI yang baru didaratkan.
Penduduk berharap kawalan dan pemantauan di kawasan tebing sungai serta laluan keluar masuk kampung dipertingkatkan bagi membendung kegiatan penyeludupan manusia yang bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah menimbulkan keresahan terutama pada waktu malam.
Mereka turut berharap tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat supaya kawasan Kuala Besar dan PCB tidak terus dijadikan laluan mudah untuk membawa masuk PATI ke negara ini.
