SHAH ALAM – Pendidikan menjadi teras utama Kerajaan Selangor dalam membangunkan modal insan berkualiti bagi memastikan negeri itu terus berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran masa depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kekuatan sesebuah negeri tidak boleh hanya diukur berdasarkan pelaburan, pembangunan bandar dan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada kualiti sumber daya manusia.
Menurut beliau, Selangor tidak mempunyai sumber asli seperti emas dan minyak yang boleh dijadikan sandaran utama, justeru pembangunan pendidikan perlu diberi keutamaan dalam membentuk generasi berkemahiran dan berdaya fikir tinggi.
“Teras Selangor adalah pendidikan. Kita tiada emas dan sumber minyak untuk dibekalkan, tetapi kekuatan kita adalah sumber daya manusia.
“Sumber daya manusia berkualiti hanya boleh dibaja dengan sistem pendidikan yang teratur,” katanya pada Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dikendalikan Fikry Ibrahim di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Amirudin berkata, walaupun pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Selangor tetap mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan generasi muda negeri itu mendapat persediaan sewajarnya.
Antara usaha berkenaan termasuk pelaksanaan Tuisyen Rakyat serta pengenalan elemen teknikal dan vokasional di sekolah menengah bagi memberi pendedahan lebih luas kepada pelajar terhadap bidang kemahiran dan laluan kerjaya.
Beliau berkata, cabaran utama bukan sahaja berkaitan sistem pendidikan, tetapi turut membabitkan sikap dan cara generasi muda melihat masa depan.
“Kita mahu generasi ini dapat berfikir jauh supaya mereka dapat merangka masa depan yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin menegaskan pembangunan negeri perlu dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan terhadap pembentukan generasi yang mampu berfikir secara kritis, memahami masalah dan mencari penyelesaian.
Katanya, usaha membangunkan negeri memerlukan kerjasama semua pihak dan tidak boleh disandarkan kepada tindakan menuding jari apabila berdepan sesuatu permasalahan.
“Kita kena faham masalah dan dalaminya. Malaysia adalah sebuah negara yang menuju ke arah lebih baik dan kita terus berikhtiar termasuk menyediakan generasi kita untuk kerja bersama,” ujarnya.
