MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka terus memperkukuh jaringan antarabangsa apabila menjalinkan kerjasama strategik bersama Grozny State Oil Technical University dalam bidang komputeran termaju dan teknologi digital.
Naib Canselor UTeM, Massila Kamalrudin berkata, kerjasama tersebut memberi fokus kepada empat teras utama iaitu perkongsian kepakaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), penyelidikan bersama, program mobiliti pelajar serta geran padanan penyelidikan.
Menurut beliau, kolaborasi itu membuka ruang lebih luas kepada UTeM untuk bergerak lebih agresif di peringkat antarabangsa khususnya dalam pembangunan teknologi baharu dan inovasi digital.
Katanya, kerjasama strategik berkenaan turut diyakini mampu meningkatkan reputasi akademik universiti selain memperluaskan peluang pertukaran ilmu antara pensyarah, penyelidik dan pelajar kedua-dua institusi.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan penyelidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman antara kedua-dua universiti yang turut disertai wakil akademik dan penyelidik dari Rusia.
Tambah beliau, UTeM komited memperluaskan jaringan global dengan universiti luar negara bagi memastikan mahasiswa mendapat pendedahan lebih luas terhadap perkembangan teknologi semasa dan keperluan industri global.
Kerjasama itu juga dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang kompetitif di rantau ini.
