PAS PUTUS KERJASAMA DENGAN BERSATU, SURAT MUHYIDDIN DEDAH KRISIS PN

Landskap politik negara memasuki fasa baharu apabila PAS secara rasmi mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu

Sekali gus mencetuskan persoalan mengenai masa depan gabungan pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum Ke-16.

Keputusan itu diumumkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang memperakukan keputusan Majlis Syura Ulama berhubung kedudukan kerjasama politik antara kedua-dua parti.

Menurut Abdul Hadi, PAS mengambil keputusan tersebut selepas meneliti laporan, kajian dan penilaian semasa mengenai hala tuju hubungan dengan Bersatu. 

Pada masa sama, PAS akan meneroka bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu berasaskan agenda penyatuan ummah bagi menghadapi PRN dan PRU16.

Perkembangan itu berlaku ketika sepucuk surat didakwa ditulis Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin kepada pimpinan PAS tersebar dan mendedahkan kronologi krisis politik di Negeri Sembilan yang dipercayai menjadi antara punca keretakan hubungan kedua-dua parti.

Surat bertarikh 25 Mei itu mendakwa beberapa siri perbincangan melibatkan pemimpin PAS, Bersatu dan UMNO telah diadakan bagi membincangkan kemungkinan pembentukan kerajaan baharu di Negeri Sembilan selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri UMNO menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Menurut kandungan surat tersebut, satu pertemuan di ibu pejabat Bersatu pada 24 April lalu melibatkan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan dan beberapa ADUN PAS serta pimpinan Bersatu bagi menandatangani akuan berkanun, sebelum rundingan diteruskan bersama pimpinan UMNO Negeri Sembilan pada malam yang sama.

Bagaimanapun, usaha itu tidak menjadi kenyataan selepas Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan semua wakil rakyat parti tersebut kekal menyokong Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan.

Dalam surat sama, Bersatu turut mendakwa PAS gagal memberikan maklum balas terhadap cadangan supaya PN menarik semula sokongan kepada kumpulan ADUN UMNO selepas pendirian parti itu berubah. 

Bersatu juga mendakwa PAS mencampuri urusan dalaman parti berkaitan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpinnya serta isu perkongsian kuasa di Kedah dan Kelantan.

Sementara itu, PAS menerusi surat balas yang ditandatangani Takiyuddin Hassan menegaskan ketegangan yang berlaku bukan berpunca daripada kenyataan terbuka pimpinan parti itu.

Sebaliknya akibat tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang didakwa sering membuat keputusan secara unilateral tanpa mengambil kira pandangan rakan dalam Perikatan Nasional.

PAS turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemelut dalaman Bersatu yang menyaksikan beberapa pemimpin digantung atau dipecat sehingga menjejaskan kekuatan gabungan pembangkang. 

Parti itu juga berpandangan bahawa usaha memperkukuh PN memerlukan pendekatan lebih inklusif dengan membuka ruang kepada penyertaan parti-parti lain yang sehaluan.

Penamatan kerjasama politik antara PAS dan Bersatu dilihat sebagai titik perubahan besar dalam politik pembangkang negara.

Sekali gus membuka pelbagai kemungkinan baharu menjelang siri pilihan raya yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat. 

Perkembangan itu turut mencetuskan persoalan mengenai hala tuju kerjasama politik antara PAS dan Bersatu pada masa hadapan.

Khususnya dalam menghadapi pilihan raya akan datang. 

Sekiranya hubungan kedua-dua parti terus meruncing, ia berpotensi mengubah landskap pembangkang serta memberi kesan kepada strategi Perikatan Nasional di peringkat nasional dan negeri.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=2CzIFuvJfqM&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *