BUKAN KEHENDAK SAYA ADAKAN PILIHAN RAYA – PMX

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan Negeri Sembilan ketika ini bukan pilihan peribadi beliau.

Sebaliknya, beliau lebih memilih agar pelaksanaan PRU sama ada di Johor mahupun Negeri Sembilan ditangguhkan demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negeri.

“Sekarang kita ada PRN, saya mohon semua kerja dengan tenang, jangan bermusuh.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) ada dalam kerajaan perpaduan, pening kita.

“Hari ini kita lawan, Rabu mesyuarat kerajaan kita duduk bersama-sama.

“Ini bukan pilihan saya, pilihan saya adalah tangguh semua PRN dan fokus kerja demi rakyat.

“Nak adakan PRN di Johor itu pilihan mereka, nak buat kekacauan politik itu pilihan mereka,” katanya dipetik Harapan Madani.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Batu Pahat pada Sabtu.

Tambah Pengerusi PH itu lagi, keputusan mengadakan pilihan raya ini bukanlah perkara kecil sebaliknya akan melibatkan kehidupan jutaan penduduk khususnya di kawasan terlibat.

Pada masa sama, beliau turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang ‘memaksa’ rakyat Johor khususnya warga emas beratur berjam-jam hanya untuk menerima bantuan tunai RM200.

Sebaliknya, beliau berkata, pemerintahan Kerajaan MADANI telah memberikan jumlah bantuan lebih besar dan kepada lebih ramai individu secara langsung menerusi akaun bank.

“Sekarang 2026 tetapi masih perlu beratur, saya pun tidak setuju.

“Kita bagi beribu-ribu kepada rakyat, naikkan gaji pegawai kerajaan, tiada yang terpaksa beratur.

“Bukan tidak boleh beratur tetapi kerana RM200 rakyat terpaksa, saya nak tanya mengapa buat begitu.

“Sumbangan Tunai Rahmah, anak sekolah semua masuk akaun, tiada yang beratur.

“Ini menunjukkan cara kita berfikir, sama ada hormat atau tidak kepada rakyat, jangan ingat rakyat itu hamba.

“Rakyat ada hak, ada kebebasan dan ada semangat kemerdekaan.

Sehubungan dengan itu, PMX turut menegaskan kehidupan rakyat Johor akan lebih sejahtera sekiranya kepimpinan kerajaan negeri selari dengan kepimpinan di peringkat Pusat.

“Kalau kita boleh ubah wajah Johor kepada semangat PH, saya percaya pembangunan akan terus berlaku tetapi bezanya manfaat kepada rakyat akan jauh lebih baik.

“Sebagai contoh projek perumahan, peluang kerja bertambah tetapi perumahan rakyat perlahan.

“Kalau kita perintah, hal ini kita akan bagi keutamaan.

“Contohnya di Selangor yang mana projek perumahan rakyat terbesar ada di negeri ini, mengapa tidak di Johor,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sebelum ini, Perdana Menteri berkata, PH kini sedang giat mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, segala aspek persiapan jentera akan digerakkan secara optimum memandangkan notis pembubaran DUN bagi kedua-dua negeri itu dibuat dalam tempoh singkat.

“Saya menyeru rakan-rakan dalam pimpinan kerajaan tumpu soal ekonomi, masalah rakyat.

“Kita (sebenarnya) ada masa untuk tumpu dua tiga bulan lagi bagi memulihkan (keadaan), kemudian pilihan raya.

“Tetapi Johor mahu (PRU DUN) segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, Puchong pada Jumaat lalu.

PH turut bersiap sedia dengan persiapan berkenaan selain mengadakan perbincangan dengan kedua-dua jentera di negeri-negeri yang telah melaksanakan pembubaran DUN.

Terdahulu pada Isnin, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi, berkuat kuasa pada 1 Jun setelah mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Sejurus itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Aminuddin Harun pula mengumumkan DUN Negeri Sembilan, yang mempunyai 36 kerusi, secara rasmi dibubarkan pada Jumaat lalu setelah mendapat perkenan Yang Di-pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Uh4z4XONzss&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *