PETALING JAYA – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengajak para alumninya dari seluruh negara untuk menyertai program Alumni Balik Kampus (ABK) UKM 2026 yang akan berlangsung dari 18 hingga 21 Jun ini sempena sambutan Hari Alumni UKM.
Pusat Perhubungan Alumni UKM dalam satu kenyataan berkata, penganjuran tahun ini membawa makna tersendiri kerana merupakan tahun kedua program tersebut dilaksanakan selepas menerima sambutan memberangsangkan daripada alumni pada tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, ABK 2026 bukan sekadar medan pertemuan semula bekas pelajar, malah menjadi platform penting bagi mengukuhkan hubungan antara alumni dan alma mater serta memperluaskan jaringan kerjasama dalam pelbagai bidang.
Program berkenaan turut menghimpunkan alumni daripada pelbagai generasi dan latar belakang profesional termasuk sektor pentadbiran awam, korporat, pendidikan, keusahawanan, teknologi, media dan industri kreatif.
UKM berpandangan penglibatan alumni dalam program tersebut mampu membuka ruang perkongsian pengalaman, kepakaran dan idea yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan universiti serta memberi impak positif kepada masyarakat.
Selain mengeratkan hubungan sesama alumni, program ini juga dilihat mampu memberi inspirasi kepada pelajar semasa melalui perkongsian kejayaan graduan UKM yang telah mencipta kecemerlangan dalam bidang masing-masing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sambutan Hari Alumni UKM yang diraikan setiap 23 Jun mempunyai nilai sejarah tersendiri kerana tarikh itu bertepatan dengan konvokesyen pertama universiti berkenaan pada tahun 1973 yang berlangsung di Bangunan Parlimen Malaysia.
Antara pengisian utama ABK 2026 ialah Bacaan Yasin dan Forum Perdana Alumni, Konsert Gala Alumni: Melodi Sepanjang Zaman, Senamrobik dan Sukan Alumni, Hari Terbuka Antara Kolej serta Hi-Tea Alumni UKM yang menjadi acara kemuncak menghimpunkan alumni, pengurusan universiti dan rakan strategik dalam suasana penuh bermakna.
