Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM100,000 menerusi Bantuan Nafkah Rahmah Selangor 2026.
Ia terutamanya bagi membantu wanita dan anak-anak yang mempunyai perintah nafkah Mahkamah Syariah tetapi masih gagal menerima bayaran.
Program itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), khususnya Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).
Sebagai bantuan kewangan sementara kepada keluarga terjejas sepanjang proses penguatkuasaan terhadap pihak yang diperintahkan membayar nafkah.
Exco Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Selangor, Anfaal Saari berkata, peruntukan berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga 50 keluarga yang berdepan masalah kegagalan menerima bayaran nafkah.
Katanya lagi, bantuan itu disalurkan secara ‘one-off’ mengikut kadar ditetapkan iaitu RM2,000 bagi nafkah isteri dan RM1,000 bagi setiap anak.
“Program ini bertujuan memberi kelegaan sementara kepada wanita dan kanak-kanak yang teraniaya.
“Dan bukan sebagai pengganti kepada kewajipan pihak yang diperintahkan membayar nafkah,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri kekal komited memastikan hak kebajikan wanita dan anakanakterbela serta tidak terabai.
Di samping menggesa bekas suami dan bapa melunaskan sepenuhnya nafkah yang telah diperintahkan Mahkamah Syariah.
Anfaal juga berkata, antara syarat kelayakan ialah pemohon mestilah beragama Islam, bermastautin di Selangor dan mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 sebulan.
Pemohon juga perlu mempunyai perintah nafkah Mahkamah Syariah yang masih berkuat kuasa tetapi culas atau gagal dibayar oleh pihak yang dipertanggungjawabkan.
Individu yang memenuhi kriteria boleh mengemukakan permohonan terus ke pejabat JAKESS melalui BSK untuk semakan kelayakan serta mendapatkan borang permohonan.
Inisiatif itu melengkapkan pendekatan penguatkuasaan sedia ada dalam menangani isu nafkah, yang turut merangkumi khidmat nasihat, bimbingan berkaitan permohonan di Mahkamah Syariah serta bantuan guaman syarie.
Tambahan lagi, bantuan berkenaan pada asasnya berfungsi sebagai sokongan sementara.
Manakala tanggungjawab membayar nafkah seperti yang diperintahkan Mahkamah Syariah kekal dipikul pihak yang berkenaan.
Inisiatif itu turut mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh jaringan perlindungan sosial yang bersasar kepada golongan yang berdepan tekanan kewangan.
Pada masa sama, bantuan berkenaan dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan harian keluarga sementara proses penguatkuasaan perintah nafkah dilaksanakan.
Kerajaan negeri juga menegaskan bahawa bantuan tersebut tidak bermaksud mengambil alih tanggungjawab bapa terhadap nafkah isteri dan anak-anak.
Sebaliknya, ia menjadi mekanisme sokongan sementara bagi memastikan kebajikan wanita dan kanak-kanak yang terjejas terus diberi perhatian.
Langkah itu juga memperlihatkan kepentingan kerjasama antara agensi kerajaan dan institusi kehakiman Syariah.
Terutamanya dalam memastikan hak nafkah yang telah diputuskan mahkamah dapat dipelihara.
Kerajaan negeri turut mengingatkan pihak yang mempunyai kewajipan nafkah supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak seperti yang diperintahkan Mahkamah Syariah.
Sehubungan itu, Bantuan Nafkah Rahmah diharap dapat menjadi sokongan sementara bagi memastikan keluarga yang terjejas terus mempunyai ruang untuk meneruskan kehidupan dengan lebih terjamin In Shaa Allah.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=Tfq0PGFu-50&ra=m
