GAYA HIDUP PUNCA PENUAAN AWAL

KUALA LUMPUR – Proses penuaan bukan hanya berlaku apabila seseorang meningkat usia, sebaliknya boleh bermula lebih awal akibat faktor gaya hidup dan persekitaran yang tidak sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif  Klinik Lovina, Dr. Hamidah Mohd. Salleh berkata, penuaan sebenarnya sudah bermula sejak manusia dilahirkan dan berlaku secara beransur-ansur tanpa disedari.

Menurut beliau, terdapat dua konsep utama dalam memahami proses tersebut iaitu umur kronologi yang merujuk kepada usia berdasarkan kalendar dan umur biologi yang menggambarkan keadaan sebenar tubuh badan seseorang.

Katanya, proses penuaan dipengaruhi oleh dua faktor utama iaitu faktor dalaman seperti genetik dan hormon serta faktor luaran termasuk gaya hidup, pemakanan dan pendedahan kepada cahaya matahari.

“Genetik dan hormon memainkan peranan penting, namun faktor luaran lebih dominan dalam mempercepatkan proses penuaan seseorang,” katanya.

Beliau menjelaskan, sekitar 70 hingga 80 peratus proses penuaan sebenarnya dipengaruhi oleh faktor persekitaran dan gaya hidup manakala selebihnya berkait dengan faktor genetik.

Menurutnya, perubahan ketara pada kulit biasanya mula berlaku seawal usia 20 tahun apabila penghasilan kolagen semakin menurun dan telomer pada DNA mula memendek secara aktif.

“Kolagen berfungsi seperti spring yang mengekalkan keanjalan kulit. Apabila kolagen berkurang, kulit menjadi kendur, kusam dan garis halus mula kelihatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Hamidah menegaskan penggunaan pelindung matahari merupakan langkah paling asas dan penting bagi melambatkan proses penuaan kulit.

Selain itu katanya, rutin penjagaan asas seperti penggunaan pelembap yang sesuai, mencuci muka dengan betul, tidur mencukupi, mengawal tekanan dan mengamalkan pemakanan sihat turut memainkan peranan besar dalam mengekalkan kesihatan kulit.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak terlalu bergantung kepada minuman atau suplemen kolagen kerana keberkesanannya berbeza bagi setiap individu.

“Yang paling penting ialah menjaga pemakanan semula jadi seperti mengambil vitamin C, vitamin E, ikan beromega-3, tomato serta minum air secukupnya,” katanya.

Tambah beliau, tabiat merokok, vaping, kurang tidur dan stres berlebihan juga menjadi antara penyumbang utama kepada penuaan awal kerana boleh merosakkan kolagen serta DNA tubuh.

Dalam perkembangan sama, rawatan moden seperti laser rejuvenation, micro-needling dan skin booster kini dilihat mampu membantu merangsang penghasilan kolagen serta memperbaiki keadaan kulit dengan lebih berkesan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan penjagaan kulit tidak memerlukan rutin terlalu rumit sebaliknya cukup dengan amalan gaya hidup sihat dan penjagaan konsisten setiap hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *