NASIR BASHARUDIN KEMBALI PERKUAT PERAK

IPOH – Bekas kapten Perak, Nasir Basharudin sah kembali menyarung jersi skuad The Bos Gaurus bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2026/2027, sekali gus menghidupkan semula harapan penyokong untuk melihat kebangkitan pasukan itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, kepulangan pemain yang mesra disapa Acer itu bukan sahaja membangkitkan nostalgia kejayaan menjulang Piala Malaysia 2018, malah menjadi suntikan moral penting kepada pasukan.

Menurut beliau, pengalaman luas Nasir sebagai bekas pemain kebangsaan diyakini mampu memainkan peranan besar dalam membimbing pemain muda selain membentuk budaya profesional, disiplin serta mentaliti kemenangan dalam skuad.

Katanya, kehadiran pemain tengah berpengalaman itu juga dijangka memperkukuhkan jentera tengah Perak selain menjadi pemimpin yang mampu menyatukan pasukan di dalam dan di luar padang.

Dalam perkembangan sama, Perak turut mengekalkan 12 pemain daripada skuad musim lalu sebagai teras menghadapi kempen Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Antara pemain yang terus diberi kepercayaan ialah Wan Zack Haikal Nor, Syazwan Syazany, Akmal Hazim, Fadhil Azmi, Hafizy Daniel, Firdaus Fuad, Danish Haikal, Afifin Arfa, Hazim Jamal, Amirul Fikri, Mohamed Arsshad dan Nasrol Amri.

PAFA berharap gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda mampu mengembalikan Perak sebagai antara pencabar utama dalam arena bola sepak negara selepas melalui tempoh yang mencabar sejak beberapa musim lalu.

Perak dijangka menggunakan baki tempoh pramusim untuk memantapkan keserasian pasukan serta memperkemaskan aspek taktikal sebelum membuka kempen Liga A1 Semi-Pro 2026/2027, dengan sasaran muncul antara pencabar utama bagi merebut kedudukan teratas liga dan mengembalikan semula reputasi pasukan sebagai kuasa bola sepak tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *