KANAK-KANAK HILANG DIBUNUH, DUA LELAKI DITAHAN

KOTA KINABALU – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sejak Isnin lalu berakhir dengan tragedi apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan mereput di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di Kampung Numbak, Sepanggar, malam tadi.

Mangsa, Nurjilya Abdullah, disahkan meninggal dunia selepas identitinya dikenal pasti oleh ibu berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang. Pemeriksaan awal pasukan forensik mendapati mayat mangsa telah berada di lokasi berkenaan untuk beberapa hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala yang disyaki berpunca daripada hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.

Beliau berkata, susulan penemuan mayat itu, kes yang pada mulanya diklasifikasikan sebagai orang hilang kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Bertindak hasil risikan dan siasatan, polis turut menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan. Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan.

Menurut Syed Lot, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mengambil keterangan saksi serta mengumpul bukti berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana ia boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan La Paula Abd. Muis di talian 013-5149490 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *