Myanmar menyatakan kesediaan membawa pulang kira-kira 5,000 pelarian negara itu yang kini berada di Malaysia menggunakan kapal.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Myanmar, Tin Maung Swe, ketika pertemuan kedua-dua pihak baru-baru ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek keselamatan pelarian perlu diberi keutamaan sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.
Katanya, Malaysia tidak mahu pelarian yang dihantar pulang berdepan ancaman keselamatan sehingga menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan Myanmar sekali lagi.
Yang pentingnya adalah keselamatan dalam negara Myanmar itu sendiri perlu ada dulu supaya mereka ini tidak dihantar balik, kemudian keluar balik.
Tak guna juga. Itulah yang kita nak lihat.”
Mohamad berkata, kira-kira 5,000 pelarian terbabit telah dikenal pasti pihak Malaysia.
Namun proses penghantaran pulang masih memerlukan saringan dan keputusan Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa Myanmar.
Beliau menjelaskan Kementerian Luar hanya akan bertindak sebagai fasilitator sekiranya keputusan penghantaran pulang dipersetujui kedua-dua pihak.
Pada masa sama, beliau berkata tiada tempoh masa khusus ditetapkan ketika ini.
Namun proses berkenaan perlu disegerakan selepas semua aspek keselamatan dan saringan dipastikan.
Mengulas isu pelarian Myanmar, Mohamad menegaskan ia tidak wajar dilihat hanya dari sudut etnik Rohingya kerana terdapat kumpulan etnik lain seperti Chin dan Karen yang turut menjadi pelarian.
Menurutnya, isu berkenaan perlu ditangani secara bersama dalam kerangka ASEAN kerana krisis Myanmar turut memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan serantau.
Malaysia juga mahu Konsensus Lima Perkara atau 5PC kekal menjadi teras mekanisme ASEAN dalam menangani krisis Myanmar.
Mohamad berkata ASEAN perlu terus memberi tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan keganasan terhadap rakyatnya.
Sekali gus mengurangkan kemasukan pelarian baharu ke negara jiran.
Dalam masa sama, usaha perlu dilakukan bagi memastikan pelarian yang berada di luar Myanmar dapat kembali ke negara asal dalam keadaan selamat.
Pendirian itu selari dengan usaha kerajaan menangani isu pelarian secara menyeluruh.
Selain memastikan kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam Malaysia terus terpelihara.
Malaysia dijangka meneruskan proses penghantaran pulang 5,000 pelarian terbabit selepas semua saringan dan keperluan keselamatan dipenuhi.
Kerajaan juga dilihat serius melaksanakan langkah berkenaan susulan persetujuan Myanmar menerima semula pelarian berkenaan, dengan Kementerian Luar bersedia bertindak sebagai fasilitator.
