PETALING JAYA – Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026 menyasarkan nilai transaksi berpotensi sebanyak RM8 bilion menerusi sekurang-kurangnya 500 pertemuan padanan perniagaan berimpak tinggi.
Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, sasaran itu bukan sekadar mengejar nilai transaksi, sebaliknya memberi penekanan terhadap usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri berkenaan.
Menurutnya, edisi ke-10 SIBS yang berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) turut menjadi platform memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama ke ASEAN.
“SIBS 2026 akan menjadi landasan utama kepada perkongsian rentas sempadan bernilai tinggi, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama ke ASEAN,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran SIBS 2026 di sini semalam.
Beliau berkata, SIBS kini berkembang melangkaui fungsi sebagai sidang kemuncak perniagaan apabila turut berperanan membentuk agenda ekonomi serantau melalui penglibatan pemain industri antarabangsa dan tempatan.
Katanya, penganjuran tahun ini dijangka menjadi edisi paling besar dan menyeluruh sejak diperkenalkan, dengan menghimpunkan syarikat multinasional, perusahaan tempatan, agensi kerajaan serta rakan industri.
Antara pengisian utama ialah Selangor ASEAN Business Conference (SABC) yang menghimpunkan pemimpin pemikiran, pembuat dasar dan pemain industri antarabangsa, selain menampilkan ucaptama khas daripada Bank Dunia.
Selangor Investment Forum (SIF) pula akan memberi tumpuan kepada seminar peringkat tinggi berkaitan ekosistem pelaburan pelbagai sektor, manakala Selangor Investment and Industrial Park Expo (SPARK) memfokuskan ekosistem pembuatan maju yang bersedia menerima pelaburan.
SIBS 2026 turut menampilkan Selangor AI and Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor) yang memberi penekanan terhadap teknologi pembuatan berteknologi tinggi serta reka bentuk litar bersepadu (IC).
Penganjuran itu mendapat sokongan pelbagai agensi dan organisasi termasuk Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec), Selangor Technical Skills Development Centre Shah Alam (STDCx) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS).
