APARTMEN BERPAGAR JADI STOR DADAH RM8.49 JUTA

JOHOR BAHRU – Helah sindiket pengedaran dadah menjadikan sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal di Persiaran Senibong, Masai, di sini sebagai stor penyimpanan bekalan dadah terbongkar selepas polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.49 juta, 5 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, operasi hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor pada kira-kira pukul 10.30 pagi itu membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan berusia 30 dan 34 tahun.

Menurutnya, serbuan pertama di sebuah unit apartmen membawa kepada penahanan lelaki berusia 30 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penjaga stor.

“Pemeriksaan di apartmen itu menemukan 132,600 biji pil disyaki Erimin 5, 53,000 biji pil disyaki ekstasi, 290 peket serbuk ekstasi, 13 peket ketamin serta serbuk MDMA.

“Keseluruhan rampasan berjumlah 96.76 kilogram dengan nilai pasaran kira-kira RM8.49 juta dan

dipercayai mampu digunakan oleh sehingga 392,098 orang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Beliau berkata, serbuan susulan di sebuah rumah teres di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang, membawa kepada penahanan lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai membantu dalang sindiket,

termasuk menguruskan pembayaran gaji penjaga stor.

Bagaimanapun, tiada dadah ditemukan dalam serbuan kedua berkenaan. Ab. Rahaman berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Mei lalu dengan menjadikan kediaman berpagar dan berpengawal sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum bekalan diedarkan ke pasaran tempatan, khususnya pusat hiburan.

Dalam operasi sama, polis turut menyita aset bernilai kira-kira RM945,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk BMW M4, Toyota Vellfire, Honda City Hatchback, Proton Saga, sebuah motosikal serta wang tunai RM100,000.

Katanya, ujian saringan awal mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, namun semakan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau.

Kedua-dua suspek direman sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala polis masih memburu dalang utama sindiket yang dipercayai masih bebas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *