KUALA LUMPUR – Harga petrol dan diesel tanpa subsidi turun bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos 2026, susulan penurunan harga minyak dunia pada minggu lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga RON97 turun 20 sen kepada RM4.15 seliter, manakala RON95 tanpa subsidi turun 15 sen kepada RM3.62 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula turun 10 sen daripada RM4.57 kepada RM4.47 seliter.
Bagaimanapun, harga bahan api bersubsidi kekal tidak berubah. RON95 di bawah BUDI95 kekal RM1.99 seliter, manakala diesel di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel)kekal RM2.10 seliter.
Bagi sektor yang menikmati mekanisme subsidi masing-masing, harga SKPS kekal RM2.05 seliter, manakala SKDS RM2.15 seliter.
Menurut MOF, penurunan harga berkenaan dipengaruhi harga minyak mentah dunia yang diniagakan lebih rendah pada sebahagian besar minggu lalu susulan harapan terhadap penyelesaian konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
Harga minyak mentah Brent turut jatuh di bawah AS$80 setong pada awal tempoh pengiraan harga Automatic Pricing Mechanism (APM), iaitu paras terendah dalam tempoh tiga minggu.
Bagaimanapun, tekanan geopolitik kembali meningkat menjelang penghujung tempoh pengiraan apabila prospek rundingan Amerika Syarikat-Iran merosot susulan tuntutan baharu kedua-dua pihak.
Kebimbangan terhadap pembukaan semula Selat Hormuz turut menyebabkan harga Brent melonjak hampir lima peratus pada Isnin.
Ketidaktentuan mengenai laluan perkapalan strategik itu terus mencetuskan risiko gangguan bekalan minyak global, sekali gus berpotensi menyebabkan harga petroleum kembali tidak menentu.
MOF berkata, kerajaan akan terus berusaha melindungi rakyat dan sektor perniagaan daripada kesan turun naik harga minyak dunia, namun pengguna disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.
