METMALAYSIA: DEBU ANAK KRAKATAU BELUM KE MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menafikan dakwaan tular bahawa sulfur dioksida (SO₂) dan debu susulan letusan Gunung Anak Krakatau, Indonesia, sudah memasuki ruang udara Malaysia.

Ketua Pengarah METMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, berdasarkan analisis arah dan kelajuan angin serta pemantauan semasa, potensi debu gunung berapi itu sampai ke Malaysia ketika ini adalah rendah.

Menurutnya, sebaran debu kini lebih tertumpu di sekitar Selat Sunda dan kawasan berhampiran di Indonesia, manakala pergerakannya dipengaruhi keadaan angin semasa.

Beliau menjelaskan paparan model atmosfera yang tular di media sosial tidak boleh dianggap sebagai gambaran sebenar kerana model perlu ditafsir berdasarkan faktor angin dan keadaan atmosfera semasa.

METMalaysia akan terus memantau pergerakan debu Anak Krakatau menggunakan data satelit serta maklumat Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) bagi memastikan sebarang risiko terhadap ruang udara Malaysia dapat dikesan lebih awal.

Sekiranya debu gunung berapi berpotensi memasuki ruang udara Malaysia, METMalaysia akan mengeluarkan amaran atau nasihat kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang.

Mohd Hisham berkata, ancaman utama sekiranya debu gunung berapi sampai ke Malaysia ialah gangguan terhadap operasi penerbangan, bukannya keadaan jerebu biasa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan jarak ketampakan rendah yang dilaporkan ketika ini, khususnya di Sarawak dan sebahagian barat Semenanjung, berpunca daripada jerebu rentas sempadan dan bukan debu Gunung Anak Krakatau.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai paparan atau dakwaan media sosial yang tidak disahkan dan mendapatkan maklumat terkini daripada saluran rasmi METMalaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *