KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur diselubungi jerebu tebal pagi ini sehingga beberapa mercu tanda utama ibu negara hampir tidak kelihatan, sekali gus mencetuskan kebimbangan orang ramai terhadap kualiti udara.
Keadaan itu dikongsikan pengguna Threads, @adiazwari_ menerusi beberapa gambar yang dirakam sekitar 8.31 pagi, menunjukkan jarak penglihatan di sekitar Sentul amat terhad.
Dalam perkongsian berkenaan, Menara Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur dan Tun Razak Exchange (TRX) didakwa langsung tidak kelihatan dari lokasi terbabit akibat lapisan jerebu yang tebal.
“Pagi ini Malaysia jerebu teruk sangat, ini bukan kabus ya. KLCC, KL Tower, TRX semua tak nampak langsung,” katanya sambil menyeru orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga.
Beliau turut mencadangkan ibu bapa mempertimbangkan untuk mengehadkan aktiviti luar anak-anak sekiranya keadaan kualiti udara semakin buruk.
Situasi sama turut dilaporkan pengguna media sosial di beberapa kawasan lain termasuk Sepang, dengan seorang pengguna mendakwa terdapat bau kuat ketika berada di dalam kenderaan.
Lebih membimbangkan, seorang pengguna turut berkongsi bahawa anaknya dimasukkan ke wad selepas mengalami batuk yang teruk, namun keadaan itu tidak semestinya berpunca daripada jerebu dan memerlukan pengesahan perubatan.
Sementara itu, tangkap layar aplikasi pemantauan kualiti udara yang dikongsikan menunjukkan bacaan AQI Kuala Lumpur 174, yang dikategorikan sebagai tidak sihat pada pukul 8 pagi.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat kualiti udara daripada sumber rasmi, mengehadkan aktiviti fizikal di luar sekiranya bacaan tidak sihat serta memberi perhatian khusus kepada golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Keadaan jerebu juga boleh berubah mengikut arah angin dan cuaca, justeru bacaan rasmi semasa perlu dijadikan rujukan utama berbanding perkongsian media sosial.
