Kerajaan meminta seluruh rakyat dan peniaga supaya tidak leka atau mengambil mudah kesan terhadap ekonomi serta rantaian bekalan susulan Iran mengumumkan penutupan semula Selat Hormuz.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun terdapat laporan masih terdapatsedikit pergerakan bagi kapal komersial, keadaan itu tidak boleh menyebabkan kerajaan atau rakyat berasa selesa.
“Ini bermakna ekonomi kita masih terdedah dengan gangguan geopolitik yang tidak stabil di luar sana.
“Kerajaan, rakyat, peniaga dan semua perlu bersedia serta berwaspada kerana memang akan ada kesan dari segi harga minyak, tekanan kepada kos pengangkutan.
“Dari segi tempoh penghantaran, harga input bahan mentah global, dan isu bekalan serta harga barangan makanan orang ramai,” katanya dipetik Media Perpaduan.
Beliau berkata demikian dalam hantaran video melalui TikToknya ketika mengulas mengenai penutupan semula Selat Hormuz susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 8 Julai lalu.
“Kita semua tidak boleh leka dan perlu mampu menyesuaikan diri dengan cabaran ekonomi yang masih belum surut susulan konflik peperangan serta serangan di Asia Barat yang masih belum surut,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut berkata, industri dan ekosistem rantaian akan menghadapi tekanan rantaian bekalan global sekiranya krisis itu berpanjangan.
Makanya, ia sekali gus memberi kesan terhadap industri.
Tambah Ahli Parlimen Johor Bahru itu lagi, sekiranya keadaan itu tidak dibendung, ia akan memberi kesan kepada pengguna.
“Apabila disebut rantaian, ia sebenarnya lebih rumit daripada yang kita jangka.
“Contohnya, jika tekanan itu dihadapi industri pengeluar plastik, kesannya boleh merebak kepada industri lain.
“Seperti pembungkusan makanan, komponen elektrik dan elektronik, automotif, peranti perubatan, pembinaan, pertanian dan eksport pembuatan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, cabaran berkenaan perlu ditangani supaya tidak menjejaskan operasi dan rantaian pada peringkat berikutnya serta tidak bergantung sepenuhnya pada faktor luaran.
Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=J-Smwchf350&ra=m
