KUALA LUMPUR – Kerajaan memperkenalkan strategi RESET sebagai pendekatan jangka panjang bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta, termasuk pelaksanaan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas atau MediAsas yang dijadual memulakan program rintis pada penghujung bulan ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, program rintis itu menjadi persediaan sebelum MediAsas dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara bermula Januari 2027. Inisiatif tersebut bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan swasta yang lebih mampu milik, mampan dan dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia.
Menurut beliau, MediAsas merupakan antara komponen utama strategi RESET yang dirangka bagi memastikan sistem pembiayaan penjagaan kesihatan negara kekal lestari, di samping membantu mengurangkan beban kenaikan premium insurans perubatan yang semakin dirasai pengguna.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Labis, Pang Hok Liong, yang meminta kerajaan menjelaskan garis masa pelaksanaan peraturan baharu bagi memastikan syarikat insurans dapat mengawal atau menurunkan kadar premium insurans kesihatan.
Mengulas punca kenaikan premium MHIT pada tahun 2024, Liew menjelaskan keadaan itu didorong oleh peningkatan mendadak tuntutan selepas pandemik COVID-19 serta penangguhan pelarasan premium oleh pengendali insurans dan takaful sepanjang tempoh pandemik.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah, mengenai isu penutupan portfolio lama yang didakwa memberi kesan kepada golongan warga emas, beliau berkata perkara itu sedang diteliti oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Katanya, BNM akan memperkenalkan dasar ‘no look-back’ menerusi pelan MediAsas bagi memastikan pemegang polisi tidak kehilangan perlindungan hanya kerana menghidap penyakit baharu apabila meningkat usia, sekali gus mewujudkan sistem insurans yang lebih adil dan inklusif.
Beliau berkata langkah itu dijangka meningkatkan keyakinan rakyat terhadap perlindungan kesihatan swasta, selain memastikan akses kepada rawatan berkualiti dapat dikekalkan tanpa dibebani kenaikan premium yang tidak munasabah.
