PUSARA TUN SITI HASMAH DIBUKA UNTUK ZIARAH SETIAP HARI

PETALING JAYA – Pusara Allahyarham Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya kini dibuka kepada orang ramai untuk diziarahi setiap hari.

Waktu ziarah ditetapkan bermula 7 pagi hingga 7 malam, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat untuk memberikan penghormatan serta mendoakan Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 100 tahun. 

Pusara Allahyarhamah yang disemadikan pada 28 September lalu itu terus menjadi tumpuan orang ramai, termasuk mereka yang hadir bersama keluarga untuk mengenang jasa dan sumbangan tokoh wanita berkenaan.

Terdahulu, Allahyarhamah dikebumikan bersebelahan pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood selepas menerima Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebagai penghormatan terhadap sumbangan beliau kepada negara, khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat. 

Perkembangan itu turut mendapat perhatian warga maya yang meluahkan hasrat untuk menziarahi pusara Allahyarhamah. Seorang pengguna media sosial, Yunie Bambang, berkata dia berhasrat hadir bersama suami bagi menyampaikan penghormatan terakhir.

“Insya-Allah saya dan suami datang menziarahi bonda. Sampai saat ini masih lagi saya mengalir air mata,” katanya.

Menurutnya, meskipun bukan rakyat Malaysia, beliau mempunyai hubungan emosi dengan negara ini dan pernah melihat Allahyarhamah bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika perarakan Hari Kemerdekaan di Putrajaya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Jamilahsen6586, turut mendoakan agar orang ramai yang menyayangi Allahyarhamah berpeluang menziarahi pusara berkenaan.

Kunjungan orang ramai ke pusara Allahyarhamah dilihat mencerminkan penghormatan masyarakat terhadap seorang tokoh wanita yang turut dikenali melalui sumbangan dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kebajikan sepanjang hayatnya. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *