MADANI TERKINI | PMX ADAKAN KUNJUNGAN HORMAT KE ATAS PRESIDEN SINGAPURA

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam pada Isnin bersempena Lawatan Negara tiga hari ke Malaysia.

Pertemuan yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara itu berlangsung kira-kira 40 minit sebelum kedua-dua pemimpin menghadiri program yang dijadualkan.

Turut hadir, Menteri Luar, Dato’ Seri Mohamad Hasan; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Menerusi hantaran di media sosial, PMX turut berkata, perbincangan turut menyentuh perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan beberapa perkara tertangguh.

“Kedua-dua pihak mengulangi komitmen untuk terus menyelesaikan apa jua isu yang masih berbangkit melalui rundingan yang konstruktif.

“Di samping berlandaskan semangat saling menghormati dan persefahaman yang telah dipersetujui bersama.

“Kami turut menyambut baik kemajuan pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), termasuk usaha memuktamadkan pelan induk JS-SEZ dalam masa terdekat.

“Inisiatif strategik ini bakal memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan kedua-dua negara.

“Semoga hubungan Malaysia dan Singapura akan terus diperkukuh berasaskan kepercayaan, saling menghormati dan manfaat bersama demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara,” katanya dipetik Harapan Madani.

Untuk rekod, lawatan Presiden Tharman ke Malaysia dari 13 hingga 15 Julai merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura pada September 2023.

Lawatan itu juga mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Singapura yang terus diperkukuh menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama.

Pautan Video: https://m.youtube.com/watch?v=puzl2O-Y9xc&ra=m

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *